Berita

Usul PAS: DAP tak mahu jadi munafik

KUALA LUMPUR, 8 JUN – Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kini berada dalam situasi seperti digantung tidak bertali ekoran keputusan muktamar PAS hujung minggu lalu memutuskan hubungan dan menghentikan kerjasama politik dengan DAP.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam kenyataannya berkata memandangkan kerajaan PR Selangor tertakluk kepada Dasar Bersama – yang kini dilanggar PAS – kerajaan gabungan sedia ada dianggap tidak lagi boleh berfungsi.

“Bagaimana kerajaan dapat berfungsi jika Exco PAS enggan bekerjasama dengan Exco DAP?

“Adakah Exco PAS akan tidak mempedulikan komen dan cadangan wakil DAP di peringkat pihak berkuasa tempatan?” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Beliau turut menjangkakan akan wujud kerjasama baru antara parti-parti politik untuk membolehkan kerajaan baru berkuasa di Selangor.

Sebelum ini Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong telah meramalkan kemunculan pemimpin Melayu progresif baru bagi mengisi kekosongan ditinggalkan PAS selepas perwakilan mereka minggu lalu memilih untuk kembali menjadi parti konservatif.

Bagi Tony, kekosongan tersebut yang mungkin diisi PKR, DAP atau sebuah parti baru akan menentukan masa depan politik Selangor.

Menurutnya lagi, seandainya kekosongan tersebut tidak diisi, kerajaan negeri Selangor boleh tumbang dan pilihan raya negeri terpaksa diadakan.

“Setakat hari ini, tiada keputusan muktamad dibuat oleh DAP Selangor,” ujarnya sambil menyebut bahawa DAP negeri itu akan mentaati keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat.

“Pemimpin DAP di Selangor tidak akan menjadi munafik dan mengkhianati prinsip demi kekal berkuasa dengan apa cara sekali pun, tidak seperti pemimpin parti politik lain,” tegasnya.

Muktamar PAS ke-61 hujung minggu lalu meluluskan tanpa bahas usul memutuskan kerjasama dengan DAP, namun mendakwa kekal bersama PR.

Susulan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa beliau bersedia untuk menerima peletakan jawatan pimpinan PAS di Pulau Pinang sambil menegaskan bahawa pentadbiran negeri tidak terjejas. – Roketkini.com