Berita, Isu Semasa

Anwar mahu PAS kaji semula hubungan dengan DAP

SUNGAI BULOH, 9 JUN: Sikap DAP yang komited memperjuangkan perubahan cukup untuk PAS mengkaji semula usul mereka memutuskan hubungan sesama parti, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan dikeluarkan bekas ketua pembangkang itu hari ini, Anwar berkata, beliau kesal kerana usul dicetuskan oleh Dewan Ulama PAS diterima muktamar.

Malaysia General Election 2013“Saya menggesa rakan politik kami, PAS, untuk mengkaji semula usul tersebut yang telah dilulus tanpa dibahas dan agar ia tidak dilaksanakan pada ketika ini,” katanya.

Kenyataan Anwar disampaikan kepada umum oleh Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran.

Dalam muktamar minggu lalu PAS membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan DAP ekoran beberapa isu berbangkit antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun terdapat satu kumpulan lain dalam PAS yang berpendapat sebaliknya.

Namun di sebalik situasi itu perwakilan PAS memilih untuk menyingkirkan semua pemimpin sederhana dalam parti berkenaan sehingga jawatankuasa pusat serta dewan pemuda, muslimat dan ulamanya dimonopoli penyokong konservatif.

Usul memutuskan hubungan dengan DAP pula diterima tanpa dibahas.

Menurut Anwar, beliau tahu DAP tetap bersama PKR dalam usaha memastikan Pakatan Rakyat terus utuh dan menjadi pilihan alternatif rakyat

“Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada Pakatan Rakyat untuk terus mara bagi menyelesaikan masalah politik dan ekonomi yang semakin teruk di bawah pentadbiran BN. – Roketkini.com