Berita, Isu Semasa

DAPSY anjur nyalaan lilin untuk gempa Sabah

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Atas rasa prihatin dan peduli terhadap mangsa gempa bumi di Sabah, Pemuda DAP (DAPSY) malam ini akan menganjurkan himpunan nyalaan lilin (candlelight vigil) di Dataran Merdeka.

DAPSY Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan menyatakan, acara bersama DAPSY Sabah itu dibuat sebagai tanda solidariti dan mengutip dana untuk Tabung Bantuan Bencana Gempa Bumi Gunung Kinabalu DAP Sabah.

Pihak keselamatan dan orang ramai bertungkus-lumus membantu mangsa gempa bumi.

Pihak keselamatan dan orang ramai bekerjasama membantu mangsa gempa bumi.

“DAPSY Wilayah Persekutuan percaya bahawa gempa bumi yang berlaku di Sabah adalah isu yang amat menyedihkan.

“Kami berharap Kerajaan Persekutuan dan semua rakyat dapat melanjutkan pemberian bantuan kemanusiaan disaat sukar ini sekaligus membantu rakan senegara yang berada dalam kebimbangan termasuk memberikan sokongan moral kepada mereka.

“Himpunan nyalaan lilin bukan saja untuk berkabung tapi demi mewujudkan kesedaran dan keprihatinan di kalangan rakyat terhadap bencana,” kata mereka.

DAPSY Wilayah Persekutuan juga mengajak orang ramai tanpa mengira kaum atau agama untuk turut sama hadir dalam himpunan malam ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam telah memulakan mesyuarat dengan menzahirkan rasa sedih dan simpati tidak terhingga kepada keluarga serta mangsa yang terlibat dalam tragedi gempa bumi itu.

Singapura pula berkabung dengan mengibarkan benderanya separuh tiang di semua bangunan kerajaan sebagai hari Peringatan Negara bagi lapan rakyatnya yang terkorban dan dua yang masih hilang.

Pada masa sama di Republik itu, semua venue Sukan Sea mengadakan tafakur selama satu minit sebelum memulakan pertandingan bagi memperingati mereka yang terkorban.

Dilaporkan sehingga kini, gempa bumi tersebut telah mengorbankan 18 orang dan dua lagi masih hilang di Gunung Kinabalu. – Roketkini.com

dapsy