Berita, Isu Semasa

DAP terus berdoa untuk mangsa gempa bumi

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Sebagai tanda solidariti kepada mangsa kejadian gempa bumi di Sabah yang telah mengorbankan 18 nyawa, Pemuda DAP (DAPSY) telah mengadakan himpunan nyalaan lilin (candlelight vigil) di Dataran Merdeka, malam tadi.

Acara ringkas di Dataran Merdeka yang bermula pada jam 8 malam itu dan disertai sekitar 30 orang juga bertujuan untuk mengutip dana untuk Tabung Bantuan Bencana Gempa Bumi Gunung Kinabalu DAP Sabah.

DAPSY Vigil

Ketua DAPSY Teo Kok Seong menyampaikan ucapan memohon kesejahteraan mangsa dan keluarga terlibat.

Himpunan anjuran DAPSY Wilayah Persekutuan dan DAPSY Sabah itu telah dihadiri oleh beberapa pimpinan seperti Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Ketua DAPSY Teo Kok Seong, Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt dan lain-lain lagi.

Selain berdoa dan bertafakur, mereka turut menyusun lilin yang membentuk mesej ‘Pray For Sabah’ sebagai tanda sokongan dan dukungan tidak berbelah bagi kepada mangsa-mangsa serta keluarga yang terlibat.

DAPSY Wilayah Persekutuan dalam kenyataan sebelum itu telah menzahirkan perasaan sedih ke atas tragedi tersebut.

“Kami berharap Kerajaan Persekutuan dan semua rakyat dapat melanjutkan pemberian bantuan kemanusiaan disaat sukar ini sekaligus membantu rakan senegara yang berada dalam kebimbangan termasuk memberikan sokongan moral kepada mereka.

“Himpunan nyalaan lilin bukan saja untuk berkabung tapi demi mewujudkan kesedaran dan keprihatinan di kalangan rakyat terhadap bencana,” kata mereka.

Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini telah memulakan mesyuarat dengan menzahirkan rasa sedih dan simpati tidak terhingga kepada keluarga serta mangsa yang terlibat dalam tragedi gempa bumi itu.

Singapura pula berkabung dengan mengibarkan benderanya separuh tiang di semua bangunan kerajaan sebagai hari Peringatan Negara bagi lapan rakyatnya yang terkorban dan dua yang masih hilang. – Roketkini.com