Berita, Isu Semasa

Jimmy: Beri gaji bulanan kepada malim gunung

KOTA KINABALU, 10 JUN: DAP Sabah kecewa dengan kelemahan jentera kerajaan  melaksanakan tanggungjawab mereka membantu mangsa gempa bumi secara lebih efektif dan menyeluruh.

Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin berkata, menurut pemerhatiannya, bantuan kepada mangsa gempa bumi lewat tiba daripada sepatutnya.

Anggota Malim Gunung Kinabalu membaca doa sebelum menjalankan kerja menyelamat.

Anggota Malim Gunung Kinabalu membaca doa sebelum menjalankan kerja menyelamat.

Sehubungan itu, Jimmy mencadangkan kerajaan Sabah mempertingkatkan kecekapan dengan mengambil kira beberapa aspek yang dirasakan wajar.

“Saya cadangkan kerajaan Sabah menyerap malim gunung ke jawatan tetap dengan gaji minimum RM3,000 berserta peruntukan oleh kerajaan persekutuan.

“Unit Kaunseling juga perlu ditubuhkan untuk memberi sokongan psikologi kepada mangsa dan penduduk sekitar yang trauma,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu turut menggesa Unit Pendidikan Bencana diwujudkan supaya dapat memberi pengetahuan dan latihan kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak.

“Dengan ini, rakyat akan lebih bersedia dan tahu apa yang mahu dilakukan jika berlaku bencana,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang membantu meringankan operasi menyelamat selain kerajaan Pulau Pinang yang memberikan bantuan segera RM100,000 kepada keluarga mangsa. – Roketkini.com