Berita, Isu Semasa

Kenapa PAS K Terengganu tak cabar bubar DUN Selangor?

GEORGE TOWN,10 JUN: Cabaran Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu Ahmad Amzad supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan dianggap cakap tidak serupa bikin oleh Ketua DAPSY negeri itu, Ng Wei Aik

Kata Wei Aik, Ahmad hanya berani mencabar kerajaan Pulau Pinang tetapi mengapa tidak membuat kenyataan sama untuk Selangor.

amzad

Adakah Amzad berani cabar bubar DUN Selangor?

“Adakah kerana PAS hanya mempunyai satu kerusi saja di Pulau Pinang?” katanya.

Wei Aik juga bertanya sama ada Ahmad berani untuk membuat cabaran serupa itu kepada kerajaan Selangor.

Ketika ini PAS mempunyai 15 kerusi DUN di Selangor dan tiga daripada mereka dilantik menjadi exco.

Ahli Parlimen Tanjong itu turut menempelak Amzad kerana menuduh DAP angkuh dan sombong.

“Amzad kata, DAP tidak mampu bentuk kerajaan jika tiada bantuan PAS, tetapi beliau tidak menasihati ahli PAS di Pulau Pinang yang memegang pelbagai jawatan supaya meletak jawatan.

“Mengapa mereka yang ingin melepaskan jawatan perlu dihalang jika Amzad ingin melihat kerajaan negeri tumbang tanpa sokongan PAS?” katanya.

Wei Aik menjelaskan, DAP bukan parti yang sombong atau angkuh, sebaliknya membuat kenyataan berdasarkan fakta.

“Tetapi pada masa sama ada pihak yang membangga diri dan sanggup membelakangi rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat demi mendekatkan diri dengan UMNO,” kata Wei Aik lagi. – Roketkini.com