Berita, Isu Semasa

Mana lutut, siku kamu PAS?

KUALA LUMPUR, 10 JUN: “Mana siku dan lutut sekarang?” tanya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam sidang media di parlimen hari ini.

Guan Eng menjawab soalan daripada wartawan yang bertanya mengenai kemungkinan kerajaan Pulau Pinang bersikap terbuka jika PAS melakukan pusingan U berhubung usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Komen spontan Guan Eng itu kemudian disambut dengan ketawa oleh wartawan dan beberapa ahli parlimen DAP yang hadir.

Kata Guan Eng, beliau enggan membuat sebarang komen berhubung keadaan yang belum berlaku.

nasruddin_hassan_MUKTAMAR_PAS_61ST_040615_TMINAZIRSUFARI_21

Nasruddin Hassan

Dalam muktamar tahunan PAS minggu lalu Ahli Parlimen Temerloh yang diketahui penyokong kuat kumpulan konservatif, Nasruddin Hassan meminta DAP tidak memandang rendah kumpulannya.

Kata Nasruddin, walaupun berjubah dan berserban, mereka memiliki lutut dan siku – sindiran kononnya kumpulan itu tetap bersemangat tinggi dan berani.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kepimpinan baru PAS bertanggungjawab mengembalikan maruah parti Islam itu ekoran terlajak meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP di muktamar baru-baru ini.

Menurutnya untuk memutuskan hubungan dengan rakan sekutu Pakatan adalah satu kerugian dan keputusan yang besar.

“DAP rasa rugi untuk keluar Pakatan, saya tak tahu adakah kepimpinan PAS rasa rugi atau tidak.

“Kita sekarang tak pasti adakah PAS kekal dengan keputusan muktamar.

“Mula-mula terima putus hubungan dengan DAP, kemudian kini mahu rujuk semula.

“PAS perlu menghormati maruah parti sendiri, takkan mereka ingin dilihat berbolak-balik setelah menerima keputusan putus hubungan dengan DAP?” soal Guan Eng.

Guan Eng juga bertanya, siapakah yang ‘membunuh’ Pakatan Rakyat.

“Siapa bunuh Pakatan? Siapa yang nak putus hubungan dengan DAP? PAS yang nak bunuh Pakatan. – Roketkini.com