Berita, Rencana

Apa lagi PAS mahu?

Boleh dikatakan semuanya berjalan seperti yang diingini – atau sekurang-kurangnya kelihatan seperti yang diingini.

Mereka mahu ‘parasit’ disingkirkan; Anwarinas disembelih dan dicampak ke tepi; sesiapa yang membantah atau mempersoal, dijentik.

Kemuncaknya ialah membatalkan kerjasama dengan DAP.

Ia memang sudah tercapai, bukan? Usul dirangka, dibincang dan dibawa ke muktamar. Sesuatu usul apabila dibawa ke sidang tentulah pihak yang mencadang, mahu ia diterima sebagai matlamat akhir.

Sidang_Media_Pas_PusatGila apa mahu usul dibawa tetapi tidak diterima?

Nah, ia juga sudah tercapai. Pedulilah sama ada ia dibahas atau tidak. Lebih baik diterima tanpa dibahas daripada dibahas tetapi tidak diterima.

Dewan Ulama PAS tentu tidak stabil berfikir jika usul berkenaan dicadangkan dan mahu ia ditolak. Pedulikanlah jika ia tidak dibahaskan kerana mana tahu tiba-tiba ia diketawakan.

Bukankah PAS sebuah parti yang kuat?

Bertanding semua kerusi

Sekarang kumpulan ulama sudah menguasai seluruh badan PAS. Di sayap pemuda, yang menjadi ketua bukan saja ulama, malah anak para ulama.

Dewan Muslimat juga diisi dengan tokoh-tokoh yang hebat. Perlu apa lagi si Aishah yang pernah menjadi penyanyi popular itu. Sama seperti tidak perlunya seorang doktor toksikologi serta peguam dalam jawatankuasa pusat PAS.

PAS hari ini tidak memerlukan apa-apa kecuali reda Allah. Perjuangan bukan tentang mencapai kemenangan sangat. Yang penting, seperti tajuk ucapan dasar presiden parti itu, ialah istiqamah.

Untuk berpencak di medan politik yang serba rumit, PAS hari ini tidak perlu bimbang kerana mereka ada siku dan lutut. Jika perlu, serban juga boleh dijadikan senjata.

Strategi berperang PAS hari ini juga lebih unik. Daripada berdua atau bertiga, PAS berpendapat mereka akan menjadi lebih gagah dan lincah jika bersendirian.

Daripada bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak, pasti PAS di bawah kepimpinan semasa boleh berkira-kira untuk menyertai pilihan raya umum di setiap kerusi yang dipertandingkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mana tahu mungkin ahli PAS akan dapat menjadi menteri besar bukan saja di Kelantan, malah Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, malah Pulau Pinang.

Nah, apa lagi yang PAS mahu apabila bertegas mendakwa usul memutuskan hubungan dengan DAP itu belum muktamad?