Berita, Isu Semasa

DAP terus gigih bantu rakyat Kelantan

KUALA LUMPUR, 11 JUN: DAP akan mengadakan majlis makan malam amal untuk mengutip dana untuk terus membina rumah baru mangsa banjir Kelantan.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, sebanyak RM3.2 juta diperlukan bagi membina 40 rumah dengan pelbagai kemudahan yang sesuai untuk penduduk di Guchil, Kuala Krai.

SUFI8212“Semua rumah ini akan ditempatkan di kawasan baru seluas lima ekar di tanah tinggi di Kampung Sungai Mas, kira-kira sembilan kilometer dari rumah asal mereka.

“Jadi kami berharap orang ramai dapat turut memberi sumbangan supaya projek ini dapat dijayakan bagi membantu penduduk di sana,” katanya.

Menurut Teresa, fasa pertama projek adalah mengumpul RM2 juta untuk membangunkan 40 buah rumah dengan setiap unit dianggarkan bernilai RM50,000.

Difahamkan baki RM1.2 juta lagi diperlukan untuk membina kemudahan lain di kawasan petempatan berkenaan seperti dewan orang ramai, taman permainan kanak-kanak dan projek ternakan ikan aquaponik.

Kata Ahli Parlimen Seputeh itu lagi, orang ramai yang berminat boleh membeli tiket makan malam itu pada harga RM200 setiap seorang atau RM2,000 untuk satu meja.

“Kepada sesiapa yang menaja majlis makan malam sebanyak RM10,000 akan diberikan empat tiket, penghormatan memotong riben dan nama mereka akan dicatat di dewan orang ramai di kampung berkenaan,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media tadi ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Timbalan Setiausaha Agung DAP Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Rami, Sasterawan Negara dan lain-lain.

Antara acara yang akan berlangsung pada majlis makan malam nanti adalah pertunjukan silap mata, persembahan muzik dan tarian.

Barisan penceramah yang akan hadir adalah seperti bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara A Samad Said, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli dan ramai lagi.

Kepada individu yang berminat untuk membeli tiket atau meja boleh menghubungi saudara Edmund Teoh dinombor 03-79836768 , 011-12081030 atau di akaun Ambank: 888-100-224-4649