Berita

Jangan guna statistik terpilih tonjol universiti Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Sekiranya ingin memiliki universiti bertaraf dunia, Malaysia tidak boleh menggunakan statistik terpilih atau tunggal, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Zairil mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh kononnya universiti di Malaysia berada di landasan betul dan menunjukkan kemajuan berdasarkan kedudukan dikeluarkan badan penilai QS World University Rankings.

“Ia pencapaian yang positif. Namun ada cara lain bagi membuktikan kejayaan universiti kita secara objektif tanpa kecenderungan mana-mana dengan membandingkan keputusan itu dengan penilai antarabangsa lain,” kata Zairil dalam satu kenyataan.

Idris dalam kenyataan semalam berkata, empat universiti awam yang juga universiti penyelidikan negara berjaya memperbaiki kedudukan dalam QS University Ranking Asia 2015, berbanding 2014.

Antaranya Universiti Malaya yang meningkat dari tangga ke-32 kepada 29 tahun ini, manakala Universiti Sains Malaysia di tempat ke-49 berbanding 57 tahun lepas.

Selain itu, Universiti Teknologi Malaysia di tangga ke-61 dari 66 dan Universiti Putra Malaysia dari tempat 76 ke 66.

Bagaimanapun Universiti Kebangsaan Malaysia kekal di kedudukan ke-56.

Kata Idris, pencapaian universiti awam negara semakin baik dalam pelbagai bidang sejak kebelakangan ini antaranya, tersenarai dalam Top 100 Subject Ranking in the World menerusi QS World University Rankings by Subject 2015.

Namun kata Zairil hujah tersebut tidak kukuh apabila kerajaan mengambil keputusan memilih untuk keluar dari penyenaraian penilaian kedudukan universiti Asia yang dibuat Times Higher Education (THE) bagi tahun ini.

Ujarnya, ketika Jepun, Korea Selatan dan Taiwan diunjurkan THE sebagai “kuasa besar pendidikan tinggi global” Malaysia dilihat ‘takut’ menyertai penilaian tanpa sebarang wakil dalam kedudukan 100 universiti terbaik Asia.

“Kali terakhir universiti Malaysia tersenarai adalah pada 2013, apabila UKM diletakkan di kedudukan ke-87 antara universiti Asia,” kata Zairil.

Dalam pada itu katanya, kerajaan menggunakan fakta terpilih dengan mendakwa universiti Malaysia menerbitkan 23,190 artikel akademik mengatasi Singapura bagi 2013.

“Dakwaan itu tidak jujur dengan mengambil kira bahawa Malaysia memiliki 20 universiti awam dan 43 universiti swasta, pada jumlah 63 universiti iaitu dua kali ganda berbanding Singapura yang memiliki enam universiti awam dan 26 institusi pengajian tinggi swasta.

“Berdasarkan logik Idris Jusoh, seharusnya kita yang menggandakan penerbitan berbanding Singapura, bukan sekadar memintas,” ujarnya.

Namun kata Zairil, bukan sekadar jumlah penerbitan yang perlu diambilkira, sebaliknya kesan dan kualiti penyelidikan yang perlu diberi keutamaan.

“Sebagai contoh, Universiti Teknologi Nanyang di Singapura baru-baru ini pada kedudukan pertama di Asia dari segi kualiti dan kesan penyelidikan berdasarkan kajian Thomson Reuters and Elsevier.

“Adakah Idris berani beritahu kami, berapa bagus universiti di Malaysia menurut indeks Thomson dan badan penilaian kualiti lain?” soal Zairil. – Roketkini.com