Berita, Isu Semasa

Kerajaan bersenang-lenang, mangsa banjir dalam khemah

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan persekutuan yang kononnya mengamalkan dasar mendahulukan rakyat, segera mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan isu perumahan mangsa banjir di kelantan.

“Saya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinet mengadakan mesyuarat serta-merta bagi membincangkan permasalahan ini, terutamanya kegagalan kerajaan membina rumah kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP hari ini.

kelate2

Ramadhan semakin hampir, tapi masih ramai yang terpaksa tinggal dalam khemah.

Menurut Kit Siang, berdasarkan jawapan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim baru-baru ini, hanya 33 unit rumah yang siap dibina setakat ini.

Shahidan mendakwa jumlah keseluruhan rumah iaitu 1,412 unit lagi akan disiapkan dengan kadar segera.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menegaskan, beliau tidak yakin kerajaan mampu memenuhi janji tersebut.

“Kerajaan mengatakan rumah akan disiapkan sebelum raya, tapi saya langsung tidak nampak sebarang tindakan dibuat.

“Mana ada? Inilah dia contoh bagaimana janji tidak ditunaikan,” tegas beliau.

Katanya lagi, kegagalan ini turut membuktikan betapa mustahilnya untuk Malaysia mencapai status negara maju seperti yang disasarkan kerajaan pada 2020.

“Lima tahun lagi kita (Malaysia) akan capai status negara maju. Tapi dengan keadaan sekarang ini, mustahil ia akan berlaku. Mana ada negara membangun,” katanya. – Roketkini.com