Berita, Isu Semasa

Rogol dalam perkahwinan adalah jenayah

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri yang tidak mahu meminda peruntukan dalam Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol dalam perkahwinan membuktikan kerajaan memang tidak ikhlas melindungi wanita, kata Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto.

“Mungkin Nancy tidak sedar amalan rogol dalam perkahwinan adalah tidak Islamik dan perkara ini disebut dalam al-Quran,” katanya sambil merujuk ayat 21 surah ar-Rum.

gambar hiasan

Gambar hiasan.

Dalam ayat itu, umat Islam diperingatkan bahawa, sebagai agama yang benar-benar menghormati wanita, suami dan isteri, hubungan dalam Islam dibina atas asas kasih sayang serta saling menghormati.

Nancy semalam mengatakan kerajaan tidak bercadang untuk meminda Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol dalam perkahwinan kerana persetubuhan dalam satu ikatan sah tidak boleh dianggap sebagai jenayah.

Menurut Nancy, peruntukan yang berkaitan di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan antara suami dan isteri dalam perkahwinan yang sah di sisi undang-undang serta masih berkuatkuasa tidak boleh dianggap sebagai rogol.

Kata Kasthuri, tindakan Nancy itu juga tidak masuk akal kerana sebarang perlakuan rogol adalah jenayah tidak kira dalam perkahwinan atau tidak.

“Ia adalah amat melucukan apabila rogol adalah jenayah serius, tapi ‘rogol dalam perkahwinan’ tidak pula dianggap sebagai kesalahan.

“Kerajaan seharusnya mengakui rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah dan satu bentuk keganasan.

“Adalah menyedihkan apabila Seksyen 375 dan 375A akhirnya digunakan untuk melindungi individu kejam dan ganas terhadap isteri mereka, bukannya melindungi wanita yang menjadi mangsa,” katanya.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang itu menegaskan, Malaysia sepatutnya berasa malu dengan negara lain yang jauh lebih mundur dari segi ekonomi tapi telah mengambil langkah ke depan dalam isu ini.

“Zimbabwe, Kemboja, Nepal, Mauritus dan Rwanda adalah antara negara yang mengambil langkah ke depan dalam isu rogol dalam perkahwinan. Malangnya Malaysia mengambil langkah sebaliknya,” katanya. – Roketkini.com