Berita

DAP terus hairan cara PAS tangani isu

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Keputusan muktamar PAS baru-baru ini mahu memutuskan hubungan dengan DAP menunjukkan Pakatan telah berkubur, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut Kit Siang, perlembagaan PAS menyatakan muktamar adalah badan pemutus keputusan paling tinggi dan segala keputusan muktamar tidak boleh dibatalkan selagi tidak bercanggah dengan al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengatakan jika dinilai dari perlembagaan parti Islam itu, keputusan PAS yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP adalah sah.

“Saya baca sendiri perlembagaan PAS, ia termaktub dalam Perkara 7 mengatakan muktamar adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti.

“Dari perlembagaan PAS, saya setuju dengan beberapa orang pimpinannya bahawa keputusan PAS mahu putus hubungan dengan DAP jelas sah,”kata  Kit Siang.

Namun, Kit Siang mengatakan sikap kepimpinan PAS hari ini yang berdolak-dalik mengenai kedudukan muktamar dalam parti itu menunjukkan mereka seolah-olah tidak mengiktiraf perlembagaan parti Islam itu sendiri.

Ini ekoran wujud dakwaan kononnya Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat boleh merujuk semula keputusan muktamar sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.

“Ini tidak masuk akal.

“Peruntukan mana digunakan jawatankuasa PAS untuk membatalkan keputusan muktamar?

“Berdasarkan keputusan muktamar itu, jelas sekali Pakatan sudah berkubur dan kita perlu hadapi segala kemungkinan akibat usul PAS itu,” katanya. – Roketkini.com