Berita, Isu Semasa

A Samad Said kini ahli sah DAP

Oleh: Aliff Fikri

GUA MUSANG, 13 JUN: Setelah bergelumang dengan pelbagai macam kegiatan masyarakat sivil, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said hari ini memilih DAP sebagai landasan perjuangan politiknya.

a-samad-said

A. Samad Said pilih DAP untuk berjuang

Penyertaan beliau diumumkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di majlis penyerahan rasmi rumah mangsa banjir yang diusahakan pembinaannya oleh pertubuhan Gabungan Impian Kelantan (GIK) di Gua Musang.

Turut hadir, Pengerusi GIK Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

Sebelum menyertai DAP Samad cukup aktif dengan kegiatan masyarakat dan pernah memimpin gerakan pembaharuan pilihan raya, BERSIH yang menuntut proses pengundian dijalankan dengan adil.

Beliau juga merupakan antara tokoh yang berada di barisan depan menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.

Sementara itu ketika ditemui, beliau berkata hasrat menyertai DAP sudah tersimpan lama dalam jiwanya namun ia belum terlaksana sehinggalah hari ini.

Beliau juga tidak akan mengendahkan pandangan orang ramai yang menganggap penyertaannya ke dalam DAP akan “mencederakan” imej Sasterawan Negara.

Sementara itu Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam ucapannya memberitahu, Samad boleh dianggap sebagai wira yang akan membawa perubahan kepada negara.

Kit Siang juga mengumkan penulis terkenal tersebut sebagai Wira Ubah kepada DAP. – Roketkini.com