Berita, Isu Semasa

“Kahwin bukan lesen merogol”

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching menggesa kajian semula terhadap peruntukan yang wujud dalam Kod Kesalahan Jenayah 2004 agar selari dengan konsep hak asasi dan kesamarataan.

Ia berikutan kenyataaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang mengatakan kerajaan tidak akan meminda seksyen 375 kod kesalahan jenayah untuk menyenaraikan kesalahan rogol perkahwinan (marital rape).

Nancy bagaimanapun menjelaskan jika seorang suami mencederakan isteri untuk tujuan seks, ia masih lagi dikira sebagai jenayah di bawah seksyen 375A kod kesalahan jenayah yang dikuatkuasa pada 2007.

Nie Ching dalam respon terhadap kenyataan Nancy tersebut mengatakan beliau telah bertanya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai jumlah pertuduhan di bawah seksyen 375A itu.

Jawapan yang diterimanya menunjukkan tidak ada pertuduhan di bawah seksyen tersebut walaupun setelah dikuatkuasa sedari 2007.

“Ini jelas menunjukkan walaupun seksyen baru diwujudkan, pihak berkuasa seolah-olah enggan menuduh si suami, yang kedua jelas menunjukkan ramai isteri yang tidak tahu hak mereka sebagai seorang suami.

“Jika seorang suami ambil duit isteri tanpa izin, ia dikira mencuri. Jika si suami pukul isteri, kita panggil serangan. Jadi, jika seorang suami melakukan hubungan seks tanpa keizinan dan keinginan isteri, kita tidak panggil rogol?

“Pelacur pun ada hak mengatakan tidak. Perkahwinan bukan lesen untuk rogol,”Jelas Nie Ching.

Justeru, Nie Ching menggesa kajian semula terhadap peruntukan yang ada termasuklah pindaan Kod Kesalahan Jenayah 2004.

“Saya hormat keputusan pindaan 2004 dahulu. Namun sekarang kita di tahun 2015. Sudah tiba masanya kita kaji semula peruntukan sedia ada agar ia lebih selari dengan kemajuan konsep-konsep hak asasi manusia dan kesamarataan,” tegas Nie Ching lagi.-Roketkini.com