Berita, Isu Semasa

Kerana benci DAP, Nik Abduh hina wanita

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh yang baru dilantik tidak sabar mengecam DAP sehingga terlanjur kata menghina kaum wanita di Malaysia.

Penghinaan Abduh yang berbaur seksis itu terdedah apabila kiriman status facebooknya menjadi viral cuba membandingkan PAS dan DAP dengan analogi jantan dan perempuan.

Bagaimanapun, komen berbaur seksis itu kini memakan dirinya sendiri apabila pemikiran yang menganggap wanita sebagai objek sindiran dan ejekan dikecam hebat.

Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto sikap tergopoh-gapah Abduh yang mengatakan PAS adalah jantan, dan DAP adalah perempuan menunjukkan pemikiran kuno Ketua Pemuda parti Islam itu

“Ini bukanlah kali pertama kedudukan serta peribadi kaum wanita diheret menjadi mangsa dalam perbalahan politik BN di negara ini.

“Bezanya, kali ini ia keluar dari mulut Ketua Pemuda PAS dan bukannya UMNO, MCA, MIC atau Gerakan,”jelas Kasthuri.

Kasthuri turut mempersoalkan motif perbandingan seksis Abduh itu di samping berpandangan Abduh sudah lama mempertuhan ideologi kolot patriarki.

“Apakah motif Ketua Dewan Pemuda PAS dalam ejekannya selain daripada menghina perempuan dan menganggapnya sebagai satu objek sindiran, perli dan ejekan?

“Kenyataan seksis Nik Abduh telah dilemparkan terhadap kaum wanita di negara ini menunjukkan kekolotan minda pemimpin generasi muda partinya.

“Kemungkinan besar Nik Abduh sudah lupa diri sehingga mempertuhan ideologi patriarki,” jelas Kasthuri lagi.-Roketkini.com

Baca kenyataan penuh di sini.