Berita, Isu Semasa

Mana seribu rumah untuk mangsa banjir?

GUA MUSANG, 14 JUN: DAP mengutuk sikap tidak bertanggungjawab kerajaan persekutuan yang berjanji mahu membantu mangsa banjir namun sehingga sekarang bukan saja ia belum dibina, malah tiang rumah pun belum di dirikan.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan telah membuat janji tersebut Januari lalu, namun hanya berapa kerat saja yang dipenuhi.

“Beberapa hari lagi Ramadan bakal menjelang, tapi 95 peratus rumah yang dijanjikan kerajaan persekutuan masih belum siap-siap lagi.

“Bukan saja belum siap, kebanyakannya masih belum dibina lagi.

“Adakah penduduk kena tunggu bulan Ramadan tahun depan?” soal Anthony.

SUFI9838

DAP terus bantu mangsa banjir di Kelantan.

Tegasnya, berbeza dengan DAP, walau tidak mempunyai peruntukan jutaan ringgit, tapi tetap berjaya menyiapkan 60 buah rumah di Kampung Pasir Tumboh, Kelantan.

Katanya, peruntukan yang diperoleh adalah dari derma orang ramai yang prihatin terhadap nasib mangsa banjir di pedalaman Kelantan.

Pada 9 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa setakat ini hanya 33 buah rumah yang berjaya disiapkan kerajaan.

Walhal, dalam semakan belanjawan baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM8.9 bilion bagi usaha pemulihan banjir, dengan RM500 juta diagihkan sebagai peruntukan awal pembaikan dan pemulihan serta program kebajikan bagi mangsa banjir.

Sejumlah RM800 juta lagi kononnya diperuntukkan untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, jalan raya, jambatan dan hospital. – Roketkini.com