Berita, Isu Semasa

Ariff Sabri: DAP memurtadkan Muslim? Mengarut!

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Hanya orang sakit mental dan mempunyai agenda menakut-nakutkan Melayu tergamak menuduh DAP sebagai parti dikawal kumpulan evangelis dan ingin mengkristiankan orang Islam.

Ahli Parlimen Raub Datuk Ariff Sabri berkata DAP adalah parti sekular yang menghormati agama seseorang sebagai perkara peribadi.

Tambahnya, jika benar DAP memang ingin mengkristiankan orang Islam di Malaysia, pastilah ahli beragama Islam terlebih dahulu dijadikan bahan.

“Sebagai seorang Melayu dan Islam dalam DAP, saya jadi orang pertama untuk benar-benar tahu adakah DAP dikawal evangelis dan mahu menjadikan semua orang penganut Kristian atau tidak.

“Majoriti ahli DAP adalah penganut Buddha, dan beberapa orang yang saya kenal adalah free thinker. Jika mereka mahu mendakwah Melayu masuk Kristian, mereka akan melakukannya dengan baik untuk kristiankan ahli DAP terlebih dulu,” jelas Ariff lagi.

Ariff yang terkenal dengan tulisan di bloknya Sakmongkol AK47 menjawab tuduhan tidak berasas terhadap pimpinan DAP termasuklah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dan Tony Pua yang dituduh menjadi dalang dakwah Kristian.

“Teresa kalau nak jadi biarawati dah lama dia pilih jadi biarawati. Namun, beliau memilih untuk gigih melaksanakan kerja-kerja sosial sehingga ada yang menggelarkannya Mother Teresa.

“Saya tak tahu adakah Tony pengunjung tegar gereja atau tidak, tapi dia memang pendakwah. Pendakwah 1MDB. Dia nak tukar pendengar dan pembacanya untuk percaya 1MDB ibu kepada segala skandal kewangan.

“Hasil dakwahnya, Tun Mahathir pun turut percaya,” ujar Ariff sinis. – Roketkini.com