Berita

Impian Perak bantu Surau Kampung Bukit Jana

TAIPING, 15 JUN: Selepas Kelantan, DAP hari ini terus melebarkan sayap kemanusiaannya dengan mengecat dan membaiki bangunan Surau Nurul Hidayah di Kampung Bukit Jana agar boleh digunakan menjelang Ramadan tidak berapa lama lagi.

Projek pemulihan surau uzur itu dilakukan melalui inisiatif Impian Perak telah diketuai pengerusinya, Dyana Sofya Mohd Daud dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bersama beberapa sukarelawan.

impian perak 2

Dyana bersama sukarelawan ketika membersihkan surau

Dyana berkata, menerusi kerja-kerja kebajikan begitu, ia jelas membuktikan DAP sentiasa mengambil berat segala masalah rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Ini terbukti DAP ikhlas dalam membantu dan bekerja untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Ia juga satu langkah penting untuk membawa harapan baru kepada negara kita yang mempunyai masyarakat berbilang kaum,” kata Dyana.

Impian Perak telah dilancarkan pada Mei lalu dengan matlamat untuk membantu golongan memerlukan, mencapai kesejahteraan kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan antara rakyat.

Dyana juga mengucapkan penghargaan kepada sukarelawan dan penduduk kampung yang memberikan sambutan menggalakkan dalam menjayakan usaha murni tersebut.

Antara pimpinan yang turut serta dalam kempen itu ialah Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh, ADUN Pokok Assam Teh Kok Lim, wakil Jawatankuasa Surau Haji Hassan dan lain-lain lagi.  – Roketkini.com