Berita, Isu Semasa

Kit Siang: Susun semula kuasa politik negara

GUA MUSANG, 15 JUN: Telah tiba masanya untuk kuasa politik di negara ini disusun semula supaya harapan rakyat dapat terus hidup, kata Lim Kit Siang.

Menurut Ketua Parlimen DAP itu, penyusunan semula berkenaan penting dilakukan ketika Pakatan Rakyat sudah berkubur apabila PAS dalam muktamarnya baru-baru ini memutuskan hubungan dengan DAP.

“Pakatan telah sampai ke hujung jalan apabila muktamar PAS putuskan hubungan dengan DAP.

“Cabaran terbesar sedang dihadapi rakyat Malaysia yang komited kepada perubahan politik adalah menyalakan semula harapan bahawa perubahan politik dalam pilihan raya akan datang masih dapat dijangkau walaupun Pakatan Rakyat tidak lagi wujud,” katanya.

Tambah beliau, penyusunan semula kuasa politik dalam negara itu nanti mestilah berdasarkan agenda besar iaitu “perpaduan seluruh rakyat Malaysia, keadilan dan kemakmuran”

Merujuk Sasterawan Negara A. Samad Said yang baru saja menjadi ahli DAP, Kit Siang mengatakan keputusan tokoh besar persuratan Melayu itu adalah sebuah langkah menghidupkan semula harapan seluruh rakyat Malaysia.

“Beliau mengambil keputusan sukar dalam hidupnya bagi meneruskan sumbangan agar harapan rakyat terus hidup, dan perubahan kuasa di Putrajaya tetap tidak terjejas tanpa Pakatan Rakyat,” katanya.

Kit Siang menjelaskan, agenda perpaduan rakyat Malaysia, keadilan dan kemakmuran mesti menjadi program inklusif mengatasi politik perkauman, bahasa dan wilayah,

“Ini kerana ia adalah satu-satunya cara menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, agar Malaysia terus ke hadapan sebagai sebuah negara yang adil dan makmur,” katanya. – Roketkini.com