Berita, Isu Semasa

Luka ‘tusukan cai’ di hati Mazlan amat dalam

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Satu-satunya pemimpin yang dilihat pro-Pakatan Rakyat (PR) dalam kepimpinan baru PAS Pusat, Mazlan Aliman hari ini mengambil keputusan meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) itu berkata, peletakan jawatannya sebagai AJK PAS Pusat adalah berpunca dari ketiadaan rakan di barisan kepimpinan parti yang kini didominasi golongan konservatif.

“Saya akui peletakan jawatan saya ini ada sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kekalahan yang dialami oleh rakan-rakan saya yang lain menjadikan ia luka dalam.

mazlan

Mazlan (paling kiri) bersama pimpinan PAS dan DAP Johor

“Ia satu titik hitam selama 30 tahun saya berkecimpung dalam PAS,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Menurut bekas Ketua Pemuda PAS itu, beliau juga mahu menumpukan lebih banyak fokus kepada gerakan massa diasaskannya, ANAK.

Namun di sebalik peletakan jawatan itu, Mazlan berkata, beliau masih kekal sebagai ahli biasa PAS.

Pada pemilihan PAS bagi sesi 2015-2017 baru-baru ini, Mazlan mendapat sebanyak 593 undi dan berada ditangga ke 14 daripada 18 jawatan dalam pemilihan parti itu minggu lalu.

Mazlan berkata beliau turut terkesan dengan krisis yang dihadapi PAS pada ketika ini yang dianggapnya sangat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi.

Sebelum ini, Mazlan telah membuat kenyataan untuk menimbang sema ada beliau kekal atau melepaskan jawatan.

Katanya, sungguh pun komitmen terhadap Anak akan diteruskan, kemelut dalaman PAS memberi kesan mendalam terhadap dirinya.

“Sekiranya sebarang dakwaan mengatakan pemilihan kali ini ditentukan melalui proses cai, tentu sekali ia sangat memilukan dan kita tak lagi berada atas landasan yang pemimpin dipilih melalui prestasi atau kerja,” ujarnya. -Roketkini.com