Berita, Isu Semasa

Isu Indie: Anak muda bukan kerbau dicucuk hidung

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Pemuda DAP (DAPSY) hari mengecam keras tindakan melulu badan doktrinisasi kerajaan Biro Tata Negara (BTN) yang menyerang penerbitan alternatif yang semakin berpengaruh di kalangan anak-anak muda sebagai anti kerajaan.

Ketua DAPSY Subang Edry Faizal Eddy Yusof berkata, tindakan menyerang dan mentakrifkan ‘Gerakan Indie’ tersebut jelas menunjukkan bahawa pihak BTN sama sekali tidak pernah langsung mendekati kelompok anak muda serta tidak tahu apa-apa mengenainya.

edry_faizal_“Meletakkan semberono bahawa individu tertentu adalah penyokong parti pembangkang membuktikan bahawa pembuat slaid tidak langsung cakna dengan budaya anak muda.

“Malah masih tersekat dengan idea bahawa asal saja kritis dengan kerajaan atau arus perdana, maka pastinya penyokong pembangkang.

(Baca kenyataan penuh di sini)

“Secara tidak langsung merendah-rendahkan daya idealisme kebanyakkan anak muda yang semakin ramai tidak lagi melihat politik dari sudut pandang kuno dan dikotomi kerajaan-pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Lebih menggelikan hati menurut Edry, muzik punk yang tegar dengan semangat melawan dan anti-establishment tidak pula dimasukkan dalam senarai.

“Barangkali pembuat slaid tidak pernah langsung mendengar Dum Dum Tak?” soalnya.

Justeru itu, beliau menggesa perkara mengarut dihentikan dengan serta merta, bagi membenarkan anak muda kebebasan meneroka sebarang kemungkinan dan pemikiran.

“Tanggungjawab mereka yang berkuasa adalah kalau tidak menyediakan pun, paling kurang jangan sekat ruang anak-anak muda meneroka idealisme mereka dengan selamat.

“Anak muda yang sudah melalui proses meneroka itu jauh lebih matang berbanding kerbau yang dicucuk hidung atas nama wajib menuruti arus perdana,” tegas beliau.  – Roketkini.com