Berita

Kit Siang lancarkan projek Impian Kedah-Perlis

ALOR SETAR, 15 JUN: Selepas kejayaan projek Impian Kelantan, DAP semalam telah melancarkan Impian Kedah-Perlis pula untuk menyatukan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya bersatu demi kemakmuran serta keadilan bersama.

Projek terbaru itu telah dilancarkan baru-baru ini oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di Majlis Makan Malam DAP cawangan Kota Darulaman, Kedah.

kit siang“Saya dengan sukacitanya mengumumkan satu lagi projek Impian Malaysia yang akan mengikut jejak langkah Impian Sabah, Impian Sarawak dan Impian Kelantan iaitu Impian Kedah serta Perlis.

“Projek ini akan diketuai oleh Pengerusi Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Kedah Dr Mohd Tajuddin Shaffee dan ahli-ahli Impian Kedah-Perlis iaitu Dr Tan Poh Teng, Nurul Shifa serta Abdul Manan.

“Projek ini dilancarkan untuk menggalakkan wawasan inklusif bagi menyatukan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, tempat tinggal atau kelas agar dapat bersatu padu ke arah agenda perpaduan negara,” kata Kit Siang dalam ucapannya.

Tegas Kit Siang, sebab utama mengapa Impian Kedah-Perlis dilancarkan adalah berpunca dari kedua-dua negeri itu yang dilihat terus mundur dalam pembangunan infrastruktur.

Pada 13 Jun lalu, Kit Siang bersama Penyelaras Impian Kelantan Syefura Othman, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook dan Sasterawan Negara A Samad Said telah menghadiri majlis penyerahan rumah yang dibina sukarelawan Gabungan Impian Kelantan (GIK) untuk mangsa banjir.

Dalam majlis itu, sebanyak lebih 40 rumah telah berjaya dibina dan diperbaiki atas usaha DAP dan GIK. -Roketkini.com