Berita, Isu Semasa

Semua wakil DAP dalam kerajaan Kelantan letak jawatan

KOTA BHARU, 16 JUN: Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), semua wakil DAP yang mempunyai jawatan dalam kerajaan Kelantan akan meletakkan jawatan bermula esok.

lccPenyelaras Perhubungan Organisasi DAP Kelantan dan Terengganu Lee Chin Chen menegaskan, keputusan tersebut dibuat atas prinsip mempertahankan maruah, sejajar dengan keputusan parti.

“Semua ketua kampung lantikan daripada DAP akan meletakkan jawatan masing-masing secara rasmi esok.

“Ia juga bermakna DAP bukan lagi sebahagian daripada kerajaan Kelantan pimpinan PAS,” katanya.

Ketika ini ada tiga ketua kampung yang dilantik atas kapasiti anggota DAP, iaitu di kawasan Tanjung Mas, Irene Tan; Kota Lama, David Ng Yang Seng dan Kampung Pulai, Tang Chee Hung.

Justeru, Chin Chen turut mendesak semua wakil kerajaan PAS di Pulau Pinang untuk mengundurkan diri dengan segera, sejajar dengan keputusan pimpinan baru mereka memutuskan hubungan bersama DAP.  – Roketkini.com