Berita, Isu Semasa

Charles: Parlimen ranapkan harapan rakyat

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Tindakan Speaker Parlimen mengarahkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago keluar dari Dewan Rakyat menggambarkan seolah-olah isu kesihatan negara tidak penting.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen, Charles berkata, isu denggi yang dibawanya sangat penting dan memerlukan perhatian segera.charles santiago parlimen

“Ini kerana untuk tahun ini sahaja 144 kematian akibat jangkitan denggi sudah direkodkan,” katanya.

Beliau berkata, nyamuk denggi telah bermutasi dan lebih mengancam nyawa kerana gigitannya boleh  menyebabkan kerosakan jantung, paru-paru dan buah pinggang.

“Ini kes penting, melibatkan kematian 144 nyawa. Jika tidak boleh dibawa ke dalam Dewan Rakyat, ke  mana lagi kita nak bawa?

“Sudah dua kali saya bawa isu ini ke sidang dewan, dan ditolak dengan jawapan serupa. Speaker memang  tidak mahu langsung beri laluan isu kesihatan negara dan nyawa rakyat.

“Saya minta maaf kepada anda semua, parlimen telah ranapkan harapan anda dan keluarga anda,” katanya. – Roketkini.com