Berita, Isu Semasa

DAP Selangor atur temu janji dengan MB

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Selaras dengan keputusan diambil Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang menganggap Pakatan Rakyat sudah terkubur, DAP Selangor akan bertemu Menteri Besar Azmin Ali bagi membincangkan pilihan politik yang ada ketika ini.

azmin 3

MB Selangor Azmin Ali

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata, pimpinan peringkat negeri bermesyuarat Selasa lalu dan mengambil keputusan untuk menemui Azmin bagi mencari jalan penyelesaian dalam konflik ekoran kegagalan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Tony berkata, beliau tidak berhajat untuk memberi komen mengenai isu itu di media massa.

“Saya tak akan komen mengenai pilihan politik yang akan dibincangkan dengan Menteri Besar. Tak molek.

“Biarlah nanti kami bincang dengan beliau, kemudian kami maklumkan kepada rakyat,” ujar Tony ketika menjawab soalan pemberita di lobi parlimen hari ini.

Tony menambah idea mengadakan pilihan raya negeri belum wujud sebagai salah satu pilihan yang ada setakat ini.

Selangor-Pakatan “Kita mahu supaya hak dan tanggungjawab kerajaan negeri dapat terus  dilaksanakan,” katanya.

Isu komposisi kerajaan Selangor menjadi hangat apabila PAS dalam  muktamarnya baru-baru ini  memutuskan hubungan dengan DAP menyebabkan Pakatan Rakyat dianggap  tidak lagi wujud.

DAP dan PAS masing-masing memiliki 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor berbanding PKR  dengan 13 kerusi dan BN sebanyak 12 kerusi- Roketkini.com