Berita, Isu Semasa

Guan Eng: Pentingkan individu dari parti ‘golongan sesat’

GEORGE TOWN, 18 JUN: Sesiapa saja yang lebih menumpukan agenda individu dalam Pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai golongan sesat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Bercakap mengenai Pakatan Rakyat, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, gabungan berkenaan wujud suatu ketika dulu hasil persefahaman tiga parti, bukannya tiga individu.

pakatan-rakyat“Pakatan Rakyat bukan Anwar Ibrahim, bukan Hadi Awang dan bukan Lim Kit Siang. Pakatan adalah PKR, PAS dan DAP.

“Sesiapa yang cakap individu lebih penting daripada parti, saya rasa itu orang yang sesat jalan,” katanya dalam sidang media di Komtar, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Guan Eng mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat tidak wujud lagi ekoran tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

Menurut Guan Eng, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini juga telah mencabuli keputusan dan muafakat yang dibuat bersama apabila lebih mementingkan agenda persendirian.

Pengkhianatan Hadi katanya boleh dilihat apabila beliau memungkiri janji dalam mesyuarat Majlis Pimpinan pada 10 Februari untuk membincangkan cadangan hudud PAS terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan atau dibawa ke parlimen.

Disamping itu, Guan Eng menyatakan biarpun Pakatan sudah tidak wujud lagi namun manifesto kerajaan negeri di Pulau Pinang masih tetap berjalan seperti biasa demi kemakmuran rakyat. – Roketkini.com