Berita, Isu Semasa

Hadi, PAS sah kena main

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Hari ini seluruh umat Islam sedunia memulakan puasa Ramadan, tetapi di parlimen, rang undang-undang persendirian yang dijuarai sesetengah pihak dalam PAS masih belum ketahuan nasibnya.

Di hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, rang undang-undang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dimasukkan dalam kertas aturan sidang, namun ia diletakkan pada aturan yang jauh ke bawah.

Lim_Kit_SiangJusteru, bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, keadaan pada hari ini jelas menampakkan bagaimana Abdul Hadi dipermainkan oleh UMNO-BN dengan ‘umpan’ kononnya bersedia menyokong pembentangan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di parlimen.

“Hadi sudah dipermainkan UMNO yang tidak mempunyai niat mahupun kemampuan melaksanakan hudud kerana ia akan secara menimbulkan kemarahan 48 Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam sidang parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim gagal menyatakan secara jelas pendirian kerajaan dalam isu berkenaan.

Ketika ditanya Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Shahidan sebaliknya menyerahkan isu pendirian rasmi kerajaaan untuk dijawab seorang lagi menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Masalahnya, Jamil Khir tiada dalam dewan, dan persidangan berakhir hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang menegaskan, DAP akan tetap meneruskan kerja sama dengan parti politik lain yang mempunyai prinsip dan wawasan impian Malaysia.

“DAP tidak akan bekerjasama dengan pimpinan PAS yang telah mencabul Dasar Bersama Pakatan Rakyat, tetapi kami sedia bekerjasama dengan kuasa politik dan rakyat yang komited terhadap Dasar Bersama tersebut, termasuk ahli PAS yang tidak menolak dan mengabaikannya,” kata Kit Siang. – Roketkini.com