Berita, Isu Semasa

Kejayaan di Kota Kinabalu: Laluan basikal 5km selama 7 tahun

KOTA KINABALU, 18 JUN: Kerajaan menguar-uarkan kononnya Kota Kinabalu bakal menjadi bandar pemangkin perubahan tetapi ketika ini lorong khas untuk laluan basikal pun tidak ada di ibu negeri Sabah itu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Pin berkata, janji yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) itu pada pandangannya tidak berfaedah dan patut dihentikan segera.

jimmy_wong_Kota_Kinabalu“Menurut projek Koridor Pembangunan Sabah, kerajaan akan membina laluan basikal sejauh 23.5 kilometer menghubungkan Tanjung Aru dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Tapi sehingga kini hanya lima kilometer disiapkan, itu pun mengambil masa selama 7 tahun,” katanya.

Justeru Jimmy bertanya bilakan baki 19.5 kilometer lagi boleh dibina dan berapa lama lagi masa diperlukan.

Katanya, projek itu melibatkan kos RM17.5 juta dan beliau mahu mendapatkan kepastian, sudah berapa banyak peruntukan itu dihabiskan.

Tegas Jimmy, kerajaan seharusnya belajar dari pihak berkuasa tempatan di Copenhagen, Denmark yang mempunyai lorong basikal lengkap di seluruh bandar.

Kata Pengerusi DAP Sabah itu lagi, selain laluan basikal Kota Kota Kinabalu juga masih jauh tertinggal berbanding Kuala Lumpur dari segi sistem pengangkutan awam.

“Walaupun Dewan Bandaraya Kota Kinabalu merangka pelan pengangkutan awam di sini tapi tanpa peruntukan daripada kerajaan, saya tidak nampak bagaimana ia dapat dilakukan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini telah mengumumkan Kota Kinabalu beserta tiga lokasi lain sebagai bandar pemangkin pertumbuhan bagi memaksimumkan faedah kepada komuniti setempat, seterusnya merangsang pembangunan negara dalam RMK-11.

Pemilihan itu, kata Najib, dibuat berdasarkan potensi masing-masing dari segi saiz penduduk sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ketersediaan infrastruktur utama, pemusatan institusi pengajian tinggi dan kelebihan geografi.  – Roketkini.com