Berita, Isu Semasa

Pejuang kerajaan rakyat Perak dibebas hari ini

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Sebelas aktivis demokrasi yang dihukum penjara kerana membantah ‘rampasan kuasa’ terhadap kerajaan Perak pada 2009, hari ini diberi pengampunan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Perkara itu diumum oleh Nashita Md Noor, isteri salah seorang tahanan terbabit, iaitu Bad Latif Mansor.

nashita

Nashita

“Saya bagi pihak ahli keluarga OKZ11 yang masih terpenjara di balik tembok besi Penjara Tapah mengumumkan semua mereka telah mendapat pengampunan daripada Sultan dan Lembaga Pengampunan Perak,” katanya hari ini.

Pengumuman itu dibuat Nashita dalam status Facebooknya pagi tadi.

OKZ bermaksud “orang kena zalim” adalah istilah digunakan aktivis prodemorkasi merujuk kepada 11 tertuduh yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah sebelum ini.

Kata Nashita, pengampunan itu dibuat sempena kedatangan Ramadan dan Aidilfitri.

Menurut beliau, arahan membebaskan 11 aktivis berkenaan disampaikan kepada pihak penjara Tapah, namun mereka masih menunggu panggilan daripada Penjara mengenai hal itu.

“Kemungkinan mereka akan dibebaskan lewat petang nanti,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada 18 Mac lalu, telah menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara kepada 13 peserta yang terbabit dengan demonstrasi membantah rampasan Kerajaan Perak lima tahun lalu.  – Roketkini.com