Rencana

Mengembalikan erti Kemelayuan

Pada 6 Jun lalu, Projek Dialog telah menganjurkan forum bertajuk ‘’Melayu dan Makna-maknanya’’. Projek Dialog merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan bertujuan menggalakkan budaya debat yang sihat serta meningkatkan persefahaman di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Saya bertuah kerana dijemput sebagai salah seorang panelis dalam forum yang turut dihadiri – antara lain, Dr Lawrence Ross dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Syed Muhiyuddin daripada HAKIM, Syahredzan Johan dari Majlis Peguam serta Nurhayyu Zainal daripada Parti Sosialis Malaysia. Moderator bagi forum tersebut ialah Yana Rizal daripada Projek Dialog.

Forum tersebut dimulakan dengan penjelasan yang diberikan Syahredzan berkenaan definisi Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 160 menetapkan definisi Melayu dengan tiga ciri iaitu seseorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengikut adat resam Melayu.

Definisi perundangan sebegini pastinya sangat menarik perhatian kerana ia bererti Melayu di negara ini adalah mengikut konsep politik, bukannya etnik. Ia juga bererti Melayu di Malaysia tidak bersandarkan faktor genetik.

Sebagai contoh, seseorang yang berketurunan Jawa boleh dianggap Melayu di negara ini tetapi di Indonesia, tiada seorang pun yang berketurunan Jawa akan mengaku dirinya Melayu.

jose-rizalApa yang lebih menarik ialah definisi Melayu ini menafikan etnik-etnik Melayu yang lain daripada dikategorikan sebagai Melayu. Sebagai contoh, ikon nasionalis Filipina Jose Rizal, berasal daripada etnik Melayu, tidak akan diiktiraf sebagai Melayu di Malaysia kerana beliau bukan beragama Islam.

Legasi Penjajah

Hakikatnya penduduk di kepulauan Melayu terdiri daripada lebih 300 juta kumpulan etnik seperti Jawa, Batak, Sunda, Acheh, Boyan, Minangkabau, Malay, Mandailing (keluarga saya berasal daripada etnik ini) dan lain-lain, termasuklah Bugis yang dikenali sebagai pahlawan yang hebat meskipun reputasi itu boleh dipertikaikan hari ini. Justeru, dari sudut etnisiti. Melayu mewakili satu kumpulan etnik yang kecil.

Maka bagaimana Melayu menjadi satu rujukan yang popular untuk kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia (di Indonesia, Melayu adalah satu kumpulan etnik minoriti)? Pertama, ia digunakan oleh pengasas Singapura, Stamford Raffles yang juga merupakan penjajah British. Ini disebabkan kebanyakan penduduk asal di rantau ini fasih berbahasa Melayu sebagai lingua franca yang digunakan secara meluas di Selat Melaka dan kawasan pesisiran pantai Kepulauan Melayu. Walaupun etnik Melayu pada hakikatnya kecil, bahasa Melayu digunakan pedagang asing mahupun penduduk tempatan yang menjalankan urusan perdagangan di rantau ini.

Setelah memutuskan untuk melabelkan seluruh etnik yang pelbagai itu sebagai Melayu, British bertindak menggunakannya secara rasmi melalui dokumen rasmi seperti rekod banci penduduk oleh kerajaan. Di samping itu, dasar kolonial yang bersifat pecah dan perintah ini telah berjaya menyemai benih polarisasi di negara ini.

Standardisasi Melayu bertentangan dengan maksud Melayu itu sendiri

Adalah penting untuk kita ingat bahawa etnisiti adalah konsep yang jauh daripada idea monolistik atau homogeni. Setiap kumpulan atau puak di sesebuah tempat mengamalkan kepelbagaian budaya dan memiliki latar belakang yang berbeza. Justeru, etnisiti adalah satu amalgamasi budaya yang terbentuk mengikut peredaran masa.

makyongSebagai contoh, Melayu di Terengganu dan Sarawak memiliki dialek berbeza. Penduduk yang lahir di Perak seperti saya misalnya, mendapati dialek mereka agak pelik dan sukar untuk difahami. Budaya yang diamalkan juga berbeza. Contohnya tarian Mak Yong memiliki pengaruh Hindu-Buddha yang popular di kalangan Melayu Kelantan, sementara tarian kuda kepang di Johor memiliki pengaruh suku Jawa.

Seperti yang diterangkan Dr Lawrence Ross, budaya Melayu tidak pernah bersifat homogeni dan akan sentiasa berkembang, berevolusi sejajar dengan pengaruh semasa. Justeru, sukar untuk mendefinisikan budaya Melayu itu sendiri dan tidak wajar jika ia terikat dalam maksud yang sempit.

Namun begitu, sejak enam dekad lalu kerajaan berusaha menulis semula sejarah kita sendiri melalui kempen standardisasi budaya dan bahasa Melayu yang sistematik. Ini tidak ada bezanya dengan konsep hagemoni budaya yang diutarakan dalam ideologi Marxis, yakni golongan pemerintah mengambil budaya dominan sesebuah masyarakat yang mengikut acuan mereka sendiri untuk diterapkan oleh seluruh penduduk.

Syed Muhiyuddin pula berpendapat, Melayu seharusnya berani menolak sebarang usaha yang dilakukan oleh pemimpin untuk menggunakan identiti yang artifisial ke atas diri mereka. Tetapi dalam melakukan usaha ini kita harus memahami sejarah asal-usul keturunan terlebih dahulu. Maka sangat penting untuk merombak kembali silibus buku teks Sejarah agar kita dapat melahirkan generasi Malaysia yang berbangga dengan asal usulnya.

Mengembalikan semula identiti kita

Kesimpulannya, kita tidak perlu membiarkan ahli politik untuk menentukan definisi sebenar Melayu. Identiti kita adalah sebuah warisan dan tidak menjadi hak kerajaan untuk menentukannya.

Seperti yang diucapkan oleh Syahredzan, musibah terbesar menimpa budaya dan masyarakat Melayu selama ini ialah tindakan sesetengah pihak menggunakan konsep kemelayuan untuk kepentingan sendiri.

Maka, sudah tiba masanya untuk kita mengembalikan semula identiti sendiri. Saya bersetuju dengan pendirian Syahredzan bahawa saya seorang Islam, Melayu dan rakyat Malaysia tanpa perlu adanya perbezaan dalam ketiga-tiga aspek tersebut. Itulah identiti saya dan tiada siapa yang berhak untuk merampasnya daripada saya. – Roketkini.com