Berita, Isu Semasa

DAP tak paksa Azmin pecat Exco PAS

SHAH ALAM, 20 JUN: DAP Selangor hari ini menafikan sekeras-kerasnya laporan akhbar Sin Chew yang mendakwa parti itu akan menarik diri daripada kerajaan negeri jika Menteri Besar Azmin Ali tidak memecat Exco PAS.

Pengerusinya Tony Pua menegaskan, DAP Selangor mengambil keputusan untuk tidak menjejaskan kerajaan negeri dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah penyelesaian terakhir yang langsung tidak diingini.

Sin Chew DailyKatanya, laporan Sin Chew yang diterbitkan Khamis lalu adalah langsung tidak tepat dan amat mengelirukan.

“Malangnya, wartawan Sin Chew enggan menerima jawapan ringkas saya bahawa keputusan mesyuarat adalah supaya kami dapat berbincang dengan Azmin secepat mungkin.

“Walaupun saya tidak melayan soalannya, beliau terus menulis cerita menurut sumber yang tidak dinamakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Tony, DAP Selangor telah mengemukakan cadangan penyelesaian untuk dibincangkan bersama Azmin.

Kata beliau, pihaknya juga berpendirian untuk sedia mendengar segala cadangan daripada Azmin.

“Kami mengalu-alukan sebuah ‘Kerajaan Gabungan Negeri Selangor’ yang baru dan ia perlulah berasas kepada Dasar Bersama serta manifesto kerajaan Selangor yang diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya lalu,” ujarnya.

Sin Chew sebelum ini mendakwa bahawa DAP Selangor menggesa Azmin supaya segera memecat tiga Exco PAS dalam kepimpinan negeri. – Roketkini.com