Berita

Najib mesti jawab dakwaan WSJ

WSJGELANG PATAH, 20 JUN: Datuk Seri Najib Razak perlu menjawab dakwaan akhbar AS, The Wall Street Journal (WSJ) mengenai laporan bahawa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai kempen Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tindakan berdiam diri Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri mengenai perkara ini memberi kesan buruk, bukan sahaja kepada kewibawaan Najib malah reputasi antarabangsa kepada Malaysia.

WSJ dalam laporannya 18 Jun lalu menyatakan bahawa 1MDB telah membuat pembelian aset pada harga yang tinggi dari Genting Group pada 2012.

Laporan WSJ itu kemudiannya dipetik semula oleh portal Kinibiz semalam bahawa Genting membuat sumbangan kepada sebuah yayasan yang didakwa ada kaitan dengan Najib sebelum PRU13 dan dana itu telah digunakan untuk berkempen.

“1MDB pada Oktober 2012 memperolehi satu unit Genting yang memiliki 75 peratus kepentingan dalam loji janakuasa arang batu 720 megawatt berhampiran Kuala Lumpur,” kata laporan itu.

WSJ mendakwa, pembelian 1MDB terhadap kepentingan Genting dalam aset kuasa itu adalah kira-kira lima kali ganda nilainya ketika itu.

Laporan itu mendakwa “harganya yang bersamaan dengan kira-kira AS$740 juta pada masa itu, menjadi RM2.3 bilion.

“Beberapa bulan selepas jual-beli itu, satu unit Genting yang dikenali sebagai Genting Plantation Berhad membuat sumbangan kira-kira AS$10 juta kepada sebuah badan amal yang mempunyai kaitan dengan Najib, menurut jurucakap untuk Genting Plantation,” dakwa laporan itu lagi.

WSJ mendakwa bahawa yayasan itu ialah Yayasan Rakyat 1Malaysia, yang menyenaraikan Najib sebagai pengerusinya di laman web yayasan tersebut.

PRU13Menurut laporan WSJ itu lagi, walaupun ditubuhkan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik melalui pendidikan dan sukan, namun badan kebajikan itu kemudiannya terlibat dengan perbelanjaan yang dilihat untuk membantu Najib mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya umum Mei 2013.

Tambah Kit Siang, Najib adalah orang yang bertanggungjawab ke atas 1MDB, bukan sahaja kerana syarikat itu adalah milikan kerajaan, malah kerana beliau juga adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menurut Fasal 117 di bawah Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB, perjanjian tersebut menyatakan bahawa Perdana Menteri perlu memberi kelulusan bertulis bagi mana-mana tawaran 1MDB, termasuk pelaburan firma itu atau mana-mana tawaran bagi penyusunan semula.

“Berdiam diri bukan satu pilihan untuk Najib, kerana ia seperti mengesahkan laporan WSJ itu,” ujar Kit Siang.

Kit Siang turut mempersoalkan sama ada Najib bersedia mengumumkan bahawa beliau sendiri akan hadir di hadapan Jawatankuasa Parlimen Akaun (PAC) bagi menjawab semua soalan mengenai dakwaan WSJ.

“Adakah Najib bersedia untuk meminta PAC menjadualkan semula perbicaraan skandal 1MDB itu supaya meletakkan keutamaan untuk beliau hadir di hadapan PAC? soal Kit Siang. – Roketkini.com