Berita

DAPSY desak HEP batal dakwaan 13 pelajar UKM

SERI KEMBANGAN, 22 JUN: Pemuda DAP (DAPSY) menggesa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membatalkan tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas 13 pelajarnya yang berjuang dalam isu air di institusi pengajian awam itu.

Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Chow Yu Hui berkata, tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM itu adalah sama sekali tidak munasabah.

“13 pelajar dari Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) ini tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Mereka hanya melaksanakan hak berhimpun yang terjamin dalam Perlembagaan untuk mendesak pihak universiti menyelesaikan isu air di UKM,” katanya.

10 pelajar lelaki dan 3 wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Universiti 29 Jun ini selepas terlibat menganjurkan himpunan Mahasiswa Tuntut Air (MaTA) di kampus mereka lewat Mac lalu.

Speaker PMUKM Zaki Shukor sebelum ini menyatakan masalah air tersebut bukanlah perkara baru dan sudah berlarutan selama 10 tahun.

Pihak PMUKM pada 27 Mac lalu juga telah menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming, bagi menyiasat masalah kekurangan bekalan air dan kegagalan universiti menanganinya.

Kehadiran Kian Ming di UKM dikatakan menjadi punca 13 pelajar terbabit dikenakan tindakan tatatertib.

Mengulas lanjut, Yu Hui menegaskan, kehadiran Kian Ming tidak sepatutnya menjadi masalah kerana UKM berada di bawah Parlimen beliau.

“Kian Ming hadir untuk meneliti masalah sebenar, maka tidak sepatutnya wujud sebarang masalah.

“Hukuman tatatertib sebegini di setiap varsiti awam adalah jelas langsung tidak menjunjung semangat kebebasan akademik,” tegasnya. – Roketkini.com