Berita, Isu Semasa

Tony Pua: YR1M Najib punya atau kerajaan?

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua hari ini mempersoalkan adakah Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang dinaungi Perdana Menteri Najib Tun Razak adalah badan kebajikan swasta atau badan kerajaan.

Persoalan itu dibangkitkan Tony apabila portal berita Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan YR1M menjadi satu badan dana membiayai kempen Najib pada PRU-13 lalu.

1mdb skandal Menurut Tony, YR1M menerima sumbangan bernilai RM35 juta daripada Genting Plantation sebaik sahaja  pengambilalihan Genting Sanyen oleh 1MDB berjaya.

“Sebelum ini, kita tahu semua keputusan 1MDB perlu kebenaran bertulis Najib tanpa pengecualian.

“Sumbangan syarikat seperti Genting Bhd menimbulkan konflik kepentingan yang jelas,” ujar Tony.

Menurut Tony, laman web YR1M menyatakan yayasan itu dipengerusikan Najib tanpa menamakan mana-mana individu terlibat secara rasmi.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati yayasan berkenaan adalah syarikat berhad, dianggotai empat ahli lembaga pengarah termasuk Najib, Datuk Azlin Alias, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail dan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin.

“Jelas dari maklumat dan dokumen yang disediakan, YR1M adalah badan amal yang dikawal sepenuhnya secara langsung dan tidak langsung oleh Perdana Menteri. YR1M boleh digambarkan sebagai “yayasan kewangan”, dimana dana boleh digunakan mengikut kehendak dan kemahuan beliau. Seperti yang didakwa WSJ,

“Dana ini kemudiannya disalurkan kepada aktiviti yang berkaitan dengan kempen pilihan raya Barisan Nasional,”jelas Tony.

Lebih parah, bukan sahaja kedudukan syarikat itu dimanipulasi Najib, Tony menjelaskan YR1M turut gagal menyerahkan penyata kewangan kepada SSM yang tamat pada Disember 2014 sejak ditubuhkan.

Justeru, Tony menggesa Najib menyerahkan penyata kewangan YR1M untuk membuktikan syarikat itu tidak menyembunyikan apa-apa salah laku seperti didakwa.

“Gagalan melakukannya (menyerahkan penyata) akan menjadi bukti perdana menteri dilihat bersalah menyeleweng wang oleh rakyat biasa, kerana beliau ada segalanya untuk disembunyikan,” katanya. – Roketkini.com