Rencana

Apakah kita ingin suburkan Ramadhan dengan kebencian?

Sejujurnya saya merasa amat letih. Saban tahun ketika Ramadan menginjak masuk, pasti ada kenyataan berbaur penghinaan terhadap rakyat yang menganut agama selain Islam.

Dan tahun ini tidak terkecuali. Kali ini seorang penolong kanan di sebuah sekolah pula menghamburkan kata-kata, “minumlah air kencing sendiri”. Sama ada ia tidak sengaja atau mungkin sebagai perencah menyedapkan ucapannya, tetapi sebagai seorang penolong kanan ia bukanlah tindakan wajar.

Ramadan adalah bulan mulia untuk kita meningkatkan taqwa. Tetapi dalam masa yang sama, ia seharusnya menjadi medan untuk meningkatkan ukhwah dan empati bukan sahaja sesama Muslim tapi kepada semua makhluk di muka bumi ini.
Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata sampai ke tahap seperti “minum air kencing sendiri”. Adakah itu mencerminkan akhlak Muslim?

Tindakan tanpa toleran dan keras ini sebenarnya semakin menjauhkan masyarakat bukan Islam kepada Islam. Sedangkan kita mempercayai bahawa Islam ini “rahmatan lil alamin”.

Bagaimana kita mahu menterjemahkan terma “rahmat kepada seluruh alam” ini jika kita terus kekal terperangkap dalam stigma keangkuhan hanya kerana kita ini kaum majoriti dalam negara ini.

Kita sepatutnya memahami bahawa aqidah dan akhlak perlu berjalan seiringan.

Islam mengajar penganutnya bersederhana dan sebagai manusia yang merupakan sebaik-baik kejadian kerana Allah mengurniakan akal untuk berfikir. Seharusnya gunakan akal tersebut untuk mengamalkan kesederhanaan bukan ekstremis.

Ambil pendekatan kesederhanaan Islam yang diamalkan Turki. Mereka sangat maju. Memakai kemeja dan suits tetapi masih terus kekal dengan keislaman. Membawa contoh peribadi dan akhlak yang mulia selaras dengan ajaran Nabi-Nabi.

Islam mengajar umatnya bukan untuk menjadi ganas, bengis dan kurang adab tatasusila. Jika kita selusuri sirah Nabi Muhammad dalam berdakwah, Nabi tidak memaksa penganut agama lain menuruti ajaran Islam. Kecuali disebut di dalam al-Quran apabila tanah air diceroboh barulah berkeras untuk mempertahankannya.

Kita wajar berlaku adil, rasional dan menunjukkan contoh perilaku akhlak yang terpuji kepada semua manusia tanpa mengira agama, bangsa, bahasa pertuturan dan sebagainya.

Makian dan caci nista hanya kaan membuatkan Islamophobia berleluasa.

Apakah kita ingin menyuburkan Ramadan kali ini dengan mesej kebencian sesama makhluk? Atau kita mahu membawa slogan kedamaian kepada seluruh alam? Pilihan di tangan kita. – Roketkini.com