Berita, Isu Semasa

DAP gesa kaji semula GST tangani kemelut semasa

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Pendekatan menyeluruh kerajaan dalam menyemak semula pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk suku tahun pertama amat mendesak sebelum ringgit semakin merudum.

Menurut Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, setelah pelaksanaan GST, nilai ringgit malaysia menyaksikan penyusutan dan ekoran itu, penyemakan semula praktik cukai berkenaan harus dilakukan segera.liewchintong03

“Saya seru kerajaan laksanakan kajian secara menyeluruh pada suku tahun pertama pelaksanaan GST dengan telus dan jelas bagi menangani pelbagai masalah.

“Jawatankuasa khas kabinet mengenai kos hidup, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Bank Negara bercakap tentang beberapa jenis kajian yang akan dimulakan,”ujar Chin Tong.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata, kajian sedemikian belum ada lagi sejak GST dilaksanakan sedangkan keadaan ekonomi semakin teruk terutamanya nilai ringgit yang semakin jatuh dan sistem GST yang dilihat kelam-kabut.

Tambahnya, antara isu yang penting dilihat dalam semakan semula GST termasuklah impak negatif cukai itu terhadap penggunaan domestik apabila rakyat Malaysia terpaksa membayar cukai berlebihan berbanding sebelumnya.

Selain itu isu akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan yang diwartakan kerajaan pada 2014 terhadap para peniaga juga perlu semakan semula kerana dianggap melampau dalam mengawal harga. – Roketkini.com