Berita, Isu Semasa, Rencana

DAP cauvinis, angkuh?

Memomokkan istilah untuk memburukkan lawan sudah menjadi lumrah kepada propagandis sejak zaman-berzaman. Di Malaysia ia amat menjalar dalam ruang politik, sosiobudaya, pendidikan dan ekonomi.

Biasanya propaganda “murahan” tidak memerlukan sebarang kajian. Memadai dicipta istilah untuk mengutuk, memaki dan paling teruk, menipu dan memfitnah. Hasilnya, jika diulang berkali-kali, malah bertahun-tahun, ia akan dipercayai orang, walaupun tidak munasabah, walaupun tanpa logik.

Oleh kerana itu Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menjadi mangsa fitnah sejak zaman Barisan Nasional digelar Perikatan sehingga hari ini terus dimomokkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang tidak masuk akal.

insider

DAP terajui usaha bantu mangsa banjir Kelantan.

Pembohongan yang bertubi-tubi itu biasanya berteraskan kepada beberapa patah perkataan yang sudah  menjadi hafalan rakyat, khususnya kaum majoriti di negara ini. “Cauvinis”, “rasis”, “komunis” adalah istilah-  istilah ciptaan kumpulan rasis yang mahu rakyat majoriti membenci DAP.

Jika dilihat mana-mana kamus, “cauvinis” bermakna sikap atau semangat kepada kaum, agama, gender atau  negara yang melampau. Itulah makna sebenar cauvinis yang menggambarkan sikap yang fanatik dan berat  sebelah, dan memandang rendah orang lain.

Entah bagaimana DAP yang memperjuangkan kebebasan, keadilan dan solidariti pula yang ditohmahkan  sebagai  cauvinis, sedangkan gelaran itu lebih sesuai untuk UMNO, PAS, Perkasa, dan yang seangkatan dengan  mereka.

Lebih teruk lagi, ada pula yang percaya kepada fitnah itu, termasuk pemimpin politik yang bergelar ulamak.  Agaknya semakin jarang manusia mentelaah buku, atau setidak-tidaknya merujuk kepada kamus.

Bagi penyebar fitnah, amat penting rakyat membenci DAP kerana ia sebagai parti demokratik sekular  menganjurkan amalan politik bukan-kaum serta menolak perkauman, dan menganggap pemerintah tidak ada  hak memaksa agama terhadap rakyat.

DAP hanya mahu kepada prinsip yang berasaskan kepada kebebasan, hak asasi, keadilan sosial, hak serta  peluang saksama tanpa mengira kaum, gender dan agama. Ia hanya berminat dalam hal-hal duniawi seperti  memastikan semua rakyat menikmati pendidikan bermutu tinggi, peluang dan agihan ekonomi yang lebih adil,  gaji minimum yang munasabah, menentang korupsi, rasuah dan salahguna kuasa, dan menegakkan kedaulatan  undang-undang yang adil.

Tentunya jika idea DAP menjadi amalan, rakyat akan menolak politik kaum dan perkauman yang jelas tempang, tidak adil serta bersifat diskriminasi. Dan ini bermakna parti-parti berasaskan kaum menjadi tidak relevan lagi.

Jadi kumpulan rasis yang takut hilang kuasa terpaksa mencipta fitnah yang diulang-ulang sejak DAP ditubuhkan hampir 50 tahun lalu melalui media massa yang dikuasai pemerintah. Kini banyak pula ejen-ejen rasis yang menyebarkan fitnah sedemikian di alam siber.

iza

Sukarelawan Impian Kelantan membantu kerja-kerja pembinaan rumah.

Oleh kerana itu, “cauvinis”, “rasis”, “komunis” tidak digunakan kepada mana-mana parti politik lain. Pada masa yang sama tidak dinafikan memang segelintir orang berjiwa rasis dalam DAP sebagaimana ramai yang bersikap sedemikian dalam parti-parti lain. Yang hairannya hanya DAP menjadi sasaran tohmahan yang menggunakan istilah-istilah tersebut.

Kini ditambah pula kata baru untuk DAP, iaitu “angkuh”. Sudah tentu angkuh menggambarkan sikap yang sombong dan bongkak serta bangga diri, malah memandang rendah kepada orang lain.

Sekali lagi, persoalannya mengapa hanya DAP mendapat gelaran istimewa ini, termasuk tohmahan dari kalangan parti-parti sahabat?

Adakah benar hanya DAP yang “angkuh”, atau ia mempunyai makna lain dalam tuduhan yang berat itu? Apakah kerana pimpinannya bukan dari warna kulit yang sama, atau kerana berbeza agama dan kepercayaan?

Persoalan ini sekadar mengingatkan bahawa istilah yang mudah seperti “angkuh” akan lekat selamanya jika fitnah ini tidak dibendung dari sekarang. Bukan tidak ada pemimpin DAP yang “angkuh” tetapi dalam politik, hampir semua pemimpin bersikap “angkuh” kerana mahu menonjolkan kehebatan mereka. Semuanya nak tunjuk pandai belaka.

Yang dipersoalkan cuma mengapa hanya DAP yang dituduh “angkuh” sehingga ada anggapan seolah-olah semua pemimpin dan anggota parti tersebut adalah jenis yang sombong, bongkak dan memandang rendah orang lain; seolah-olah “angkuh” mahu dikaitkan dengan “cauvinis, “rasis”, “komunis”.

Sesekali elok kita melihat cermin. Ya kita semua, termasuk pemimpin dan anggota DAP serta parti, pertubuhan dan individu yang bersahabat. – Roketkini.com