Berita

DAP parti inklusif sejak lahir

KLANG, 24 JUN: Mana-mana pihak yang menuduh DAP sebagai parti perkauman atau cauvinis patut melihat sejarah perjuangan parti berkenaan yang memang bersifat inklusif sejak penubuhannya.

Sebagai bukti, parti itu meletakkan calon pilihan raya daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu sejak 1969, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Bahkan kini DAP memiliki ahli parlimen daripada kaum India lebih ramai berbanding MIC,” katanya ketika berucap dalam forum “Bolehkah Najib atau 1MDB terus hidup” di Wisma Ten Chen kelmarin.

Kata Kit Siang, memang UMNO-BN akan terus memfitnah DAP sebagai parti anti-Melayu dan Islam bagi menakut-nakutkan rakyat.

Namun, katanya, DAP akan terus memperkasa keahlian Melayu, Dayak, Kadazan dan Dusun bagi mengekalkan aspirasi parti yang sebenarnya tidak pernah bercita-cita menjadi parti Cina atau bukan Melayu.

Katanya, ketika Pakatan Rakyat sudah terkubur, sesetengah pihak meramalkan DAP akan berubah menjadi parti politik Cina yang berfikiran sempit.

“Mereka silap besar jika berfikir begitu kerana DAP tak pernah bercita-cita jadi parti Cina sejak penubuhannya pada 1966,” katanya.

Menurut Kit Siang, dalam apa juga keadaan DAP tetap komited untuk menggapai impian Malaysia, bukannya impian Cina, impian India atau impian Melayu.

Kerana aspirasi itu, katanya, DAP menjadi parti pan-Malaysia pertama di negara ini membuka cawangan di Sabah dan Sarawak selepas ia ditubuhkan di Semenanjung Malaysia.

Tidak akan ada parti politik yang mahukan sokongan semua rakyat Malaysia boleh menjadi anti-Melayu, anti-Islam, anti-Cina, India atau Dayak atau anti Buddha, Kristian dan Sikh.

“Saya percaya dalam dekad keenam tertubuhnya negara kita, akan lebih ramai rakyat Malaysia mengutamakan sikap sebagai warga Malaysia sebelum mengakui dirinya sebagai Cina, Melayu, India, Kadazandusun dan Iban,” katanya. – Roketkini.com