Berita, Isu Semasa

Polis mesti siasat transaksi kewangan YR1M

KUALA LUMPUR, 24 JUN: “Pihak berkuasa mesti menjalankan siasatan terhadap semua transaksi kewangan Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) kerana ia ada kaitan dengan syarikat 1MDB,” kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng selepas membuat aduan di Balai Polis Jinjang.

Lip Eng menegaskan, rakyat sedia maklum bahawa 1MDB dan YR1M dikawal oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tapi tidak ada maklumat yang menyatakan bahawa ia adalah dana peribadinya.

Najib Razak, Nguyen Tan Dung“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bursa Malaysia atau Bank Negara mesti menjalankan siasatan ke atas semua transaksi kewangan YR1M, terutamanya yang melibatkan kumpulan Genting,” katanya.

Menurut laporan Wall Street Journal, 1MDB telah membeli Genting Sanyen pada harga sangat tinggi iaitu RM2.3 bilion.

Transaksi itu, lapor media berkenaan, memberikan keuntungan RM1.9 bilion kepada Genting dan ia dicatatkan dalam Laporan Tahunan 2012 syarikat itu.

Kumpulan Genting pula dilaporkan menderma sekurang-kurangnya RM25 juta kepada YR1M atau menyumbang sehingga RM190 juta bagi tujuan pilihan raya tahun 2013.

Lip Eng menegaskan, jika YR1M tidak dimiliki kerajaan, adakah sumbangan dan derma daripada syarikat-syarikat Genting ini bagi kegunaan ‘peribadi’ Najib tidak salah di sisi undang-undang?

“Adakah Najib dan BN telah ‘membeli pilihan raya 2013’ dengan dana berkaitan 1MDB yang sedang berhadapan masalah membayar hutang berjumlah RM42 bilion?” soalnya. – Roketkini.com