KOTA BHARU, 26 JUN: Setelah menjelajah ke tiga negeri demi kemanusiaan Pameran Amal Lukisan Bruce Lee kini singgah di negeri Cik Siti Wan Kembang pula mulai semalam.
Majlis pelancaran pameran itu disempurnakan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang juga merupakan penasihat Impian Malaysia kira-kira jam 5 petang di KB Mall.
Suasana majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran ramai pimpinan politik termasuklah Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, Sasterawan Negara A Samad Said dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli serta Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke.
Turut hadir bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Speaker DUN Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim.
Pameran yang memaparkan sejumlah hasil seni berimejkan Bruce Lee itu bukan sekadar pameran kosong, malah aktiviti jualan turut diadakan untuk pengunjung demi mengutip dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan.
Menurut Penyelaras Impian Kelantan Young Syefura Othman, pameran selama tiga hari itu menyasarkan kutipan RM20,000.
“Namun, nampaknya baru saja dilancarkan hari ini, kutipan telah mencecah RM23,000. Ini adalah satu perkara yang menggembirakan, terima kasih rakyat Kelantan,”ujar Syefura ketika dihubungi.
Sebelum ini pameran sama turut diadakan di di Pulau Pinang, Ipoh dan di Selangor. Di Selangor sahaja, kutipan mencecah RM150,000 untuk tempoh seminggu pameran diadakan di The Mines, Serdang.
Selain penganjur Gabungan NGO Impian Kelantan, pameran amal itu turut mendapat sokongan Kelab Bruce Lee, Persatuan Komik Mandarin Malaysia dan DAP.
Ia juga sempena hari ulang tahun Bruce yang ke-75 dan merupakan satu-satunya pameran dan jualan amal bagi mengutip dana untuk mangsa banjir di Kelantan.
Semua peminat Bruce Lee dan pengunjung yang ingin menyaksikan pameran dijemput ke KB Mall, dari jam 10 pagi hingga 10 malam sehingga 27 Jun. – Roketkini.com