Berita

Speaker dikritik kerana bertudung

KUALA LUMPUR, 26: JAN: Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata, pandangan melampau (ekstrem) wujud dalam setiap agama dan bangsa.

hannah-yeoh-ramadhan2Mengulas kritikan kolumnis Cina terhadapnya kerana bertudung ketika melawat masjid, Hannah berkata pandangan sebegitu perlu ditolak.

Dalam kiriman di laman Facebooknya semalam, beliau berkata penolakan itu perlu dibuat semua pihak yang ingin melihat Malaysia maju.

Kenyataan itu dibuat ekoran gambar dimuat naik oleh Hannah di Facebook.

Gambar berkenaan diambil ketika ADUN Subang Jaya itu menyertai majlis berbuka puasa di Masjid al-Falah di kawasannya.

Hannah turut menegaskan, sebab utama beliau menyertai politik adalah untuk mengambil pendirian tegas terhadap pemikiran sedemikian.

“Saya tidak akan memohon maaf atas pendirian saya,” tegas Hannah

hannah-yeoh-ramadhanPengguna Facebook yang membaca kenyataan Hannah turut menyatakan sokongan.

Seorang pengguna dikenali sebagai Hua Hing berkata, Hannah mungkin perlu mengabaikan kolumnis tersebut kerana tidak faham tentang agama dan perkara yang sewajarnya dilakukan.

“Pengkritik seolah tidak menghargai orang lain dalam kehidupan seharian mereka. Teruskan kerja yang baik YB Hannah,” tulis Hua Hing.

Dalam majlis berbuka puasa di Masjid al-Falah itu Hannah turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada enam buah masjid dengan jumlah RM2,000 setiap satu dan 18 buah surau (RM1000 setiap satu) daripada peruntukan ADUN.

“Ini kita laksanakan setiap tahun. Pejabat saya turut berdialog dan berbuka puasa bersama semua wakil masjid dan surau,” kata Hannah.

Hadir sama dalam majlis penyerahan sumbangan semalam ialah Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dan bekas Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir. – Roketkini.com