Berita, Isu Semasa

Tanjung Kupang perlukan sistem pengangkutan lebih baik

PENGKALAN RINTING, 26 JUN: Peningkatan jumlah warga Malaysia yang berulang-alik ke Singapura patut mendorong kerajaan memastikan sistem pengangkutan awam mencukupi.

unnamed

Penumpang berebut-rebut menaiki bas di Tanjung Kupang.

ADUN Pengkalan Rinting Cheo Yee How berkata pengguna bas awam di Pusat Pemeriksaan Tanjung Kupang terpaksa berebut-rebut setiap hari untuk menaiki bas kerana khuatir lewat sampai di tempat kerja.

“Lebih 30,000 orang keluar masuk Singapura bagi tujuan mencari rezeki setiap hari hingga menyebabkan keadaan bersesak-sesak di kedua-dua belah pusat pemeriksaan ke Singapura.

“Ini bukan sahaja mencalarkan imej negara, malah keselamatan pengguna bas awam turut terancam,”ujar Yee How.

Tegas Yee How kerajaan harus memastikan bas mencukupi dan menepati kekerapan yang dijadualkan iaitu antara 30 minit sehingga satu jam.

Beliau turut mencadangkan pembukaan Tambak Johor kepada orang awam untuk pejalan kaki atau kereta api yang menyambungkan Singapura dan Johor Bahru.

“Saya harap pihak keselamatan di check point Tanjung Kupang menjaga situasi orang ramai yang berebut untuk naik bas, ini demi memastikan keselamatan pengguna kenderaan awam.

“Saya minta pihak kerajaan hadapi realiti yang berlaku dan tindakan yang dicadangkan perlu diambil perhatian demi mengelakkan keadaan serius berlaku,” katanya. – Roketkini.com