Berita

Apakah SPRM dan MARA terima maklumat lebih awal?

lim-kit-siangKUALA LUMPUR, 27 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa perlu menjelaskan sama ada mereka telah lebih awal menerima maklumat berhubung rasuah pembelian hartanah di Melbourne, Australia.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sekiranya maklumat tersebut diterima lebih awal, mengapa tindakan kedua badan itu hanya dimulakan pada Selasa lalu.

“Adakah SPRM dan MARA akan terus mengabaikan maklumat tersebut sekiranya akhbar Australia The Age tidak mendedahkannya pada Selasa lalu? soalnya

Tambah Kit Siang, SPRM perlu menjelaskan sama ada badan itu telah menerima maklumat semenjak tahun lalu, yang dikatakan menjadi sebab SPRM memulakan siasatan kira-kira enam bulan lepas.

“Mereka (SPRM) juga perlu menjelaskan mengapa tindakannya lebih kelihatan untuk ‘menutup ‘isu’ dan bukannya ‘mendedahkan’ dalangnya,” kata Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menggesa kerajaan menjawab pendedahan di sebuah blog tentang bagaimana rasuah RM13.8 juta diagihkan di kalangan enam orang.

Menurut blog yang tidak dinamakan Kit Siang, agihan tersebut dengan jumlah RM5 juta dan RM3 juta kepada dua individu, RM2 juta untuk dua individu, RM1 juta untuk satu individu dan RM800,000 untuk seorang individu sebagai ‘saguhati’.

“Bolehkah MARA dan SPRM mengesahkan laporan blog ini? soal Kit Siang.

The Age melaporkan, seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan itu dikenali ‘Dudley International House’, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di Malaysia. – Roketkini.com