Berita

Demo air: UKM patut dialog bukan hukum

ong_kian_mingSERDANG, 28 JUN: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seharusnya berdialog dengan mahasiswa, bukannya menghukum hanya kerana cara bantahan dibuat.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming mengulas tindakan UKM terhadap 13 mahasiswa dipanggil bahagian pentadbiran Hal Ehwal Pelajar.

Mereka berdepan tindakan berikutan himpunan berhubung isu berkenaan pada 27 Mac lalu.

“UKM tidak sanggup berdialog secara telus dengan semua pihak termasuk pimpinan pelajar bagi menyelesaikan isu penting ini. Ini masalah sikap.

“Sepatutnya UKM bekerjasama dengan pelajar dan pihak berkepentingan lain seperti Syarikat bekalan Air Selangor (SYABAS), ADUN, ahli parlimen dan majlis bandaran bagi selesaikan masalah tersebut,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Tambahnya sebagai ahli parlimen Serdang, beliau perlu menerima memorandum tersebut, apatah lagi UKM berada dalam Parlimen Serdang.

“UKM memang berada dalam kawasan Parlimen saya.

“Kebebasan berhimpun termaktub dalam Artikel 10.1(b) dalam Perlembagaan Persekutuan. Demonstrasi mereka juga berjalan secara aman.

Kian Ming telah mengutus surat untuk berjumpa Naib Canselor UKM April lalu bagi membincangkan masalah air di UKM yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

“Saya langsung tak terima apa-apa respon maklumat terhadap surat saya itu.

“Jika ini terus jadi sikap mereka, bagaimana IPTA kita boleh bicara mengenai kecemerlangan sedang mereka terus membelenggu pelajar sendiri,” ujar Kian Ming.

Masalah gangguan air di UKM berlaku sejak 10 tahun lalu dan dilaporkan melanda Kolej Ungku Omar, Aminuddin Baki, Keris Mas dan Burhanuddin Helmi.

Walaupun sejumlah RM 182.4 juta diperuntukkan untuk pembangunan UKM, bekalan air ke beberapa kolej kediaman terpaksa dihantar menggunakan lori air. – Roketkini.com