KUALA LUMPUR, 28 JUN: Gejala rasuah yang berleluasa dilihat sinonim kerana dana negara dan agensi pelaburan didominasi ahli politik UMNO dan kroninya.
Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, skandal MARA Inc dilihat ada kaitan dengan beberapa pemimpin UMNO.
Kenyataan bersama tersebut mendedahkan, UMNO mendominasi MARA melalui pelantikan enam orang dari ahli majlis MARA dari kalangan anggota parti itu.
Antaranya MARA Inc, mempunyai empat pengarah, dengan dua daripada mereka adalah ahli UMNO yang aktif.
“Malah broker perjanjian Dudley House, terkenal meminati ‘Porsche’, Erwan Azizi, mempunyai hubungan rapat dengan UMNO dan Pengarah Syarikat Biosis Bhd, sebuah syarikat dipengerusikan Timbalan Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.
“Seolah-olah terancang, Erwan juga adalah anak kepada Dato ‘Azizi Yom Ahmad, pemaju bersama Dudley House tersebut.
“Jelas dengan ini, seperti agensi kerajaan lain, MARA didominasi dan dikawal ahli politik dan kroni.
“Tidak ada ketelusan dan akauntabiliti dalam proses membuat keputusan seperti MARA, sedangkan sebuah agensi adalah penjaga amanah berbilion duit rakyat Malaysia,” kenyataan dipetik.
Justeru, MARA yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen perlu mengembalikan akauntabiliti dan ketelusannya kepada Parlimen.
“Ahli Majlis MARA mestilah diseimbangkan ahli-ahli politik dari kerajaan dan pembangkang, penjawat awam dan profesional non-partisan.
“Jika tidak skandal akan terus membelenggu kerajaan,” tegas kenyataan itu.
Skandal rasuah terbaru melibatkan MARA itu didedahkan portal berita Australia, The Age.
Dalam laporannya, MARA Inc, anak syarikat MARA didakwa membeli bangunan di Australia pada harga jauh lebih tinggi daripada nilai pasaran bagi mengaut keuntungan di kalangan pegawai dan pemaju tempatan. – Roketkini.com