Berita, Isu Semasa

Edry Faizal: Melayu sertai DAP kerana demokrasi

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Andaian Timbalan Ketua Kluster Politik Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Jayum Jawan yang menganggap penyertaan orang Melayu ke DAP adalah untuk memperjuangkan hak etnik itu jelas menyimpang dan tidak bernas sama sekali.

Dalam kenyataan bersama beberapa aktivis muda DAPSY Subang diketuai Edry Faizal Yusof, mereka berkata fenomena anak muda menyertai DAP didorong oleh keinginan untuk mengangkat hak setiap rakyat seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

edry_faizal_“Kenyataan Dr Jayum yang dilaporkan media kononnya orang Melayu sertai DAP kerana mahu martabat hak Melayu adalah semberono dan memandai-mandai.

“Anak muda seperti kami mahu lihat demokrasi subur dengan usaha mewujudkan negara yang lebih baik digerakkan secara bersama,” kata mereka.

(Baca kenyataan penuh di sini)

Tambahnya, orang Melayu tertarik menyertai DAP kerana agenda perjuangan daripada rakyat untuk rakyat yang lebih inklusif serta progresif ditunjukkan parti itu.

Kata mereka, pandangan Dr Jayum berdasarkan imaginasi liar dan ia tidak membantu menyelesaikan masalah dalam negara.

“Sudah sepatutnya Malaysia berganjak daripada wacana politik berasaskan kaum kepada politik berasaskan ideologi kebebasan dam keadilan, di samping memperjuangkan nasib golongan terpinggir.

“Dan kami merasakan prinsip-prinsip itu jelas diperjuangkan DAP dan kerana itu kami memilih DAP,” ujar kenyataan itu lagi.

Dr Jayum sebelum ini dilaporkan portal Free Malaysia Today mengatakan kononnya niat orang Melayu menyertai DAP adalah memperjuangkan kepimpinan Melayu. – Roketkini.com