Berita

Tony Pua: Satu lagi penipuan 1MDB

KUALA LUMPUR,30 JUN: Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menyelar tindakan Kementerian Kewangan (MOF) yang menuduh dirinya cuba mengalihkan fakta dan bukan bertindak menafikan perilaku mereka yang menyelematkan hutang.

Menurut Tony cubaan menyelamatkan 1MDB oleh MOF itu berbentuk jaminan sebanyak ASD$ 4.71 bilion (RM17.7 bilion) kepada International Petroleum Corporation (IPIC) ketika kedua-dua belah pihak bersetuju dalam sebuah perjanjian transaksi komersial yang dimeterai antara kedua-dua pihak.

“1MDB menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya bahawa MOF memberikan jaminan sebanyak ASD$ 4.71 bilion kepada International IPIC.

“Semalam saya nyatakan jaminan tersebut adalah dami IPIC bayarkan hutang sebanyak ASD$ 1 bilion bagi pihak 1MDB yang merupakan faedah bagi bon bernilai USD$ 3.5 bilion,” ujarnya.

Tambah Tony, penafian 1MDB itu sebenarnya adalah taktik lama syarikat tersebut apabila berhadapan dengan pertanyaan sukar yang sering diajukan.

Katanya lagi, 1MDB tidak jujur apabila dalam kenyataan penafian itu tidak menyatakan pengumuman yang dibuat pihak IPIC menyebut bahawa 1MDB dan MOF bersetuju untuk melaksanakan semua tuntutan yang termaktub dalam terma syarat yang mengikat bagi menanggung kerugian IPIC dan Aabar bagi setiap kerugian.

“Dalam bahasa mudah, jika 1MDB gagal memindahkan aset yang diperlukan menurut nilaian agregat kepada IPIC sebelum 30 Jun 2016, MOF dikehendaki membayar semula IPIC sekurang-kurangnya jumlah yang telah didahulukan oleh IPIC sebelum tarikh itu.

“Ia juga termasuk ASD$ 1 bilion yang dibayar terlebih dahulu, dan faedah anggaran bernilai ASD $ 209.7 juta yang dikenakan oleh bon dalam tempoh 12 bulan akan datang,”terang Tony lagi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menjelaskan MOF yang terpaksa membayar setiap kerugian yang ditanggung oleh 1MDB kepada IPIC tidak dapat lagi dipertikaikan apabila 1MDB gagal membayar hutang keseluruhannya pada 30 Jun 2016.

“Jika MOF tak perlu menjadi penjamin membayar kepada IPIC atas syarat perjanjiannya, kenapa MOF perlu jadi pihak bersama dalam terma syarat tersebut dari awal lagi?

“Dan jika benar ia benar-benar transaksi komersial seperti yang didakwa oleh 1MDB, kenapa ia tidak hanya melibatkan 1MDB dan IPIC sahaja?” Soal Tony lagi.

Semalam, 1MDB menjelaskan transaksi komersial antara syarikat itu dan IPIC baru-baru ini tidak dijamin oleh Kementerian Kewangan mahupun kerajaan setelah media melaporkan pendedahan Tony mengenai jaminan kerajaan terhadap 1MDB dalam transaksi antara kedua-dua syarikat itu. -Roketkini.com