Berita

Pemimpin MCA main isu kaum kini jadi penasihat Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie yang pernah memberitahu kaum Cina dalam satu ceramah bahawa orang Melayu akan membayar lebih cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana mereka ada lebih ramai anak, kini dilaporkan telah dilantik menjadi penasihat perpaduan nasional di Jabatan Perdana Menteri.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata beliau kesal apabila membaca laporan media bahawa Heng mengaku dia dilantik menjadi penasihat khas untuk Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatuan Malaysia (National Unity Blueprint) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, walaupun Heng telah menafikan ceramah berbaur perkauman itu, rakaman kata-katanya yang disiarkan oleh China Press pada awal Mei lalu yang berada dalam ruang media sosial, adalah bukti mainan politik perkaumannya.

“(Heng) bukan saja telah menggunakan pendekatan perkauman dalam isu GST tetapi dia juga takut untuk mengaku silap dan meminta maaf walaupun menerima kritikan.

“Tetapi bagaimana pula Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) merasakan Heng sesuai untuk melaksanakan pelan perpaduan nasional?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh turut mempertikaikan pelantikan terlalu ramai “penasihat” untuk Jabatan Perdana Menteri yang banyak membazirkan wang rakyat.

Menurutnya, dalam jawapan Parlimen pada tahun 2013, ada empat ahli politik Barisan Nasional pada masa itu yang dilantik sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri:

* Tan Sri Rais Yatim sebagai penasihat sosial dan kebudayaang dengan elaun RM27, 227.20 sebulan;

* Datuk Wira Johari Baharum sebagai penasihat khas Wilayah Ekonomi Koridor Utara dengan elaun RM21,500 sebulan;

* Datuk Abdullah Mohd Zin sebagai penasihat agama dengan elaun RM25,106 sebulan; dan

* Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai penasihat pembangunan wanita dan keusahawanan dengan elaun RM27,227.20 sebulan.

Teresa menjelaskan, pelantikan mereka adalah tidak perlu serta membazir kerana bertindih dengan portfolio menteri yang sedia ada dalam Kabinet.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri tidak mempedulikan pandangan rakyat, sebaliknya melantik pula Heng sebagai penasihat.

Beliau mendakwa pelantikan Ketua Wanita MCA itu sebenarnya merupakan langkah Najib untuk memberi pangkat dan kedudukan kepada pemimpin BN melalui pintu belakang. – Roketkini.com