Berita

Walaupun tiada lagi kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, pentadbiran CAT diteruskan dengan sokongan PKR dan wakil tunggal PAS

GEORGE TOWN, 2 JULAI: Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menggugurkan nama “Pakatan Rakyat” daripada pentadbiran berikutan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan meneruskan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) yang dilaksanakan sejak 2008 yang mendapat sokongan majoriti rakyat.

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang semalam yang turut dihadiri oleh Exco Dr Afif Bahardin merangkap Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, secara sebulat suara mengulangi pendirian kerajaan negeri dalam hal tersebut.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri menentang dan tidak bersetuju dengan usul Muktamar PAS pada bulan lalu yang memutuskan hubungan dengan DAP.

Namun, katanya, kerajaan negeri menerima hakikat bahawa bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi berikutan usul Muktamar PAS tersebut.

Sehubungan itu, menurutnya, kepimpinan beliau akan meneruskan dan mengekalkan urus tadbir kerajaan negeri Pulau Pinang seperti biasa.

“Urus tadbir ini dilaksanakan berdasarkan Dasar Bersama PR yang digubal pada 2009 serta Manifesto Pulau Pinang Pilihanraya Besar 2013 yang memperolehi mandat terbesar dalam sejarah pilihanraya Pulau Pinang sebanyak 68%.

“Pihak Exco juga memutuskan untuk memanggil diri sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang dan bukan lagi kerajaan negeri PR Pulau Pinang,” katanya beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih menjelaskan bahawa satu mesyuarat beliau dengan semua 30 Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) pada 18 Jun lalu telah menyokong keputusan Exco Pulau Pinang.

Menurutnya, mesyuarat kesemua Adun tersebut turut dihadiri oleh Adun Permatang Pasir Datuk Salleh Man, satu-satunya Adun PAS di negeri itu.

“Kesemua Adun yang dipilih dalam pilihanraya umum 2013 itu juga bertekad untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sebagai ahli kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Ini bermakna sokongan 30 Adun kepada kerajaan negeri Pulau Pinang tidak berubah dan tidak kurang serta tetap berkekalan seperti biasa,” tambah beliau.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi. Pihak pembangkang UMNO mempunyai 10 kerusi.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri Pulau Pinang akan berfungsi seperti biasa demi memberikan tumpuan dan komitmen untuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan, serta melaksanakan urus tadbir CAT, dan menjana pembangunan ekonomi yang dinikmati semua tanpa kira kaum dan agama.